30 Jun 2021
SHAH ALAM - Sebahagian penilai atau adjuster yang terlibat dalam sindiket penipuan tuntutan insurans berperanan membuat pengiraan tidak telus terhadap kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Melalui cara menaikkan tuntutan dengan melakukan penipuan atau tuntutan palsu, pembayaran balik kerugian menjadi berlipat kali ganda yang perlu dibayar syarikat insurans.
Hanya meletak status 'total lost' atau musnah sepenuhnya pada kenderaan yang terlibat dengan kemalangan, pihak penilai sudah boleh tersenyum ceria.
Apa tidaknya, mereka boleh mendapat keuntungan besar kerana tidak perlu menukar ganti kerosakan malah bahagian kenderaan yang masih elok boleh dijual dengan mudah.
Kisah benar ini dikongsi sendiri oleh seorang ejen insurans dikenali, Kamil yang mengetahui di sebalik ketirisan tuntutan insurans kemalangan yang berlaku di negara ini.
Katanya, kelebihan yang ada pada penilai insurans kemalangan kerana golongan ini boleh membuat runding harga dan mempunyai ramai kenalan dalam kalangan pemain industri.
“Sebagai contoh, jika berlaku satu-satu kemalangan, nilai harga kerosakan yang perlu dibaiki sebanyak RM8,000 tetapi mereka boleh menaikkan nilai kerosakan sehingga RM30,000,” katanya.
Tambah Kamil, kumpulan tidak jujur itu dilihat mampu menjana keuntungan lebih besar sekiranya kenderaan yang terlibat adalah daripada jenis kenderaan mewah.
Jelasnya, penilai mampu membuat tuntutan yang tinggi berdasarkan harga alat ganti yang mahal.
Lebih parah katanya, penilai kenderaan akan membuat tuntutan melampau sekiranya kenderaan yang terlibat dengan kemalangan adalah kenderaan model lama yang sukar untuk mendapatkan alat ganti.“Kes-kes seumpama ini paling disukai oleh golongan ini. Mereka boleh main harga dan buat tuntutan melampau kerana mangsa tiada pilihan,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan penilai juga sering membuat tuntutan cermin kereta yang pecah kerana ia mudah untuk dimanipulasikan.
Sebagai contoh katanya, penilai insurans kemalangan akan menukar ganti cermin kereta masih elok kepada cermin yang telah pecah atau retak.
Selepas selesai tuntutan dibuat kepada pihak insurans, Kamil berkata, penilai akan menghubungi semula pemilik kereta untuk menukar kembali cermin kereta asal yang tidak rosak.
“Di sinilah mereka akan bekerjasama atau saling bersetuju dengan pelanggan yang ingin membuat keuntungan atas angin,” katanya.
Bagaimanapun tegas Kamil, tidak semua penilai yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini.
“Masih ramai yang jujur dan disebabkan sikap sebahagian penilai yang mengaut keuntungan secara haram itu, semua terkena tempiasnya,” katanya.
Mangsa kemalangan juga dapat ‘habuan’
Sementara itu, mangsa kemalangan juga terlibat dalam penipuan tuntutan insurans dalam meraih habuan lebih besar.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh mangsa kemalangan yang bekerjasama dengan penilai atau adjuster.
Izhar, 42, berkata, keretanya dinilai sebagai total lost atau musnah sepenuhnya selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun lalu.
Katanya, dia bertemu dengan penilai itu selepas keretanya dibawa ke bengkel.
Ceritanya, selepas perbincangan dilakukan, penilai itu kemudiannya bersetuju mengkategorikan kenderaannya sebagai musnah sepenuhnya.
“Apa yang menariknya, pihak adjuster boleh memberikan 100 peratus tuntutan insurans kemalangan dan membuatkan saya mendapat sedikit keuntungan.
“Tambahan pula kenderaan itu telah habis dibayar. Jadi saya sangat berpuas hati,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun akuinya, kenderaan itu tidak musnah sepenuhnya sama seperti apa yang dilaporkan oleh penilai.
“Kereta yang saya pandu hanyar terbabas dan rosak di bahagian depan,” katanya.
Biarpun begitu katanya, dia menyedari tindakannya itu tidak wajar dijadikan contoh tetapi dia mempunyai sebab tersendiri melakukannya.
Penarik kereta kejar komisen besar
Sementara itu, komisen besar menjadi daya penarik kepada kumpulan penarik kereta untuk membawa masuk kenderaan terlibat dalam kemalangan ke bengkel.
Menurut sumber, jumlah tuntutan bagi membaiki kenderaan yang terlibat dengan kemalangan boleh mencecah sehingga RM40,000 hingga RM60,000 bergantung kepada jenis kenderaan.
Oleh sebab itu katanya, penarik kenderaan dan pihak bengkel masing-masing berlumba untuk ‘mengejar’ kenderaan yang terlibat dengan nahas jalan raya.
Tambahnya, tidak hairan apabila berlaku kemalangan dan dalam sekelip mata sahaja muncul banyak penarik kereta yang turut dikenali dengan nama longkai serta tonto di lokasi kejadian.
Jelasnya, pelbagai taktik licik digunakan oleh penarik kenderaan termasuk memujuk mangsa kemalangan yang masih trauma, bersedia dengan kad perniagaan daripada pelbagai jenis panel insurans, berjanji melunaskan saman yang bakal dikenakan oleh pihak berkuasa serta berjanji membawa kenderaan ke bengkel yang terbaik.
“Namun semua itu adalah wayang daripada pihak penarik kereta kerana ada yang membawa kenderaan kemalangan ke bengkel yang boleh 'kawtim'.
“Kenapa mereka begitu terdesak melakukan semua ini? Pastinya kerana ganjaran besar yang bakal diterima daripada pihak bengkel kereta.
“Kumpulan penarik kereta ini boleh menerima antara 15 hingga 28 peratus daripada jumlah kos kerosakan kenderaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, selepas membuat bayaran kepada kumpulan penarik kereta dan suapan kepada pihak berkuasa atau individu yang terlibat dengan pengurusan kenderaan kemalangan itu, pihak bengkel akan membuat kiraan agar mereka juga mendapat keuntungan daripada tuntutan palsu insurans itu.
“Syarikat insurans adalah pihak yang akan menjadi mangsa serta menanggung semua kerugian ekoran perbuatan sindiket penipuan tuntutan insurans kemalangan yang berleluasa di negara ini,” katanya.
Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/147168/LAPORAN-KHAS/Rosak-RM8000-tuntut-sampai-RM30000