June 28, 2021 @ 8:52pm
KUALA LUMPUR: Kawalan harga minyak masak dan pemberian diskaun bil elektrik antara bantuan dalam pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan hari ini, banyak membantu mengurangkan bebanan rakyat serta peniaga yang sedang bergelut dengan situasi tidak menentu pandemik COVID-19.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata peruntukan dan bantuan yang diumukan itu dialu-alukan kerana ia mengurangkan beban pengguna secara keseluruhannya.
Beliau berkata, sebagai contoh, kawalan harga minyak masak bukan sahaja boleh mengatasi kenaikan harga barang itu malah turut boleh mempengaruhi perilaku rakyat.
"Kita lihat langkah kerajaan adalah untuk stabilkan harga minyak masak. Ia adalah keprihatinan kerajaan supaya harga tidak lebih tinggi hingga bebankan pengguna.
"Ia juga dilihat membantu mengurangkan kekerapan rakyat untuk keluar rumah untuk membeli barangan keperluan berkenaan ketika pandemik ini.
"Jika beli pek satu kilogram (kg) memang cepat habis dan bagi memudahkan, mereka boleh beli botol besar dan tidak perlu keluar kerap bagi mendapatkan minyak masak," katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol satu hingga lima kilogram (kg).
Melalui program itu, harga minyak masak botol lima kilogram dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol, selain menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion dalam memastikan bekalan minyak masak pek polibeg satu kilogram (kg) terjamin.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus mengekalkan harga runcit bagi petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) membabitkan subsidi melebihi RM6 bilion tahun ini.
Pemilik agensi pelancongan tempatan Wan Vacation Sdn Bhd, Syazwan Zanini, berkata diskaun 10 peratus bil elektrik bagi Oktober hingga Disember ini bagi pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan membantu mengurangkan kos kerugian bulanan yang bertambah setiap bulan.
"Ini kerana bil elektrik yang diperolehi tidak tinggi kerana pejabat ditutup berikutan tidak termasuk dalam perkhidmatan perlu sepanjang fasa pertama kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Ekonomi," katanya.
Sumber: https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2021/06/833255/bhplus