KUALA LUMPUR: Kumpulan kongsi gelap dipercayai menjadi pelindung kepada pendatang asing di kebanyakan pasar borong, terutama di Lembah Klang bagi memastikan perniagaan mereka ‘kebal’ daripada tindakan pihak berkuasa.Mereka dikatakan menguasai tapak niaga tidak berlesen di luar pasar borong utama serta mendakwa mereka mewakili persatuan peniaga dan penjaja tertentu.Di Pasar Borong Lama Selayang di sini, sekurang-kurangnya 80 peniaga warga asing dipercayai bernaung dengan kumpulan kongsi gelap ini sehingga mereka berupaya memonopoli tapak perniagaan haram di luar bangunan utama pasar.Siasatan wartawan BH ke atas beberapa peniaga asing di pasar borong Selayang lama mendapati mereka dikenakan ‘wang perlindungan’ atas nama sewa harian serendah RM50 bagi satu tapak.Malah, wang perlindungan yang dikutip setiap hari ada yang mencecah RM200 sehari bergantung kedudukan tapak yang biasanya lebih tinggi jika terletak di laluan utama ke pintu masuk pasar.Kongsi gelap mampu meraih antara RM120,000 hingga RM480,000 sebulan bagi satu pasar borong hasil sewa tapak haram dan kutipan wang perlindungan.
Kegiatan sejak 10 tahun lalu
Katanya, kegiatan itu sudah wujud lebih 10 tahun, namun masih berleluasa termasuk berselindung di sebalik nama persatuan yang tidak aktif.“Selain isu monopoli perniagaan pasar borong, peniaga asing turut dikesan mencuri bekalan elektrik dari surau sementara yang dibina di bawah jambatan berhampiran pasar...
untuk kegunaan tapak haram mereka.“Sebelum ini beberapa kali berlaku pergaduhan serta perebutan tapak dalam kalangan peniaga di sini, tetapi diselesaikan sesama mereka tanpa membabitkan pihak berkuasa,” katanya.Dalam pada itu, isu berkenaan pernah diketengahkan beberapa persatuan kepada pihak berkuasa, namun setakat ini, tiada tindakan tegas diambil.Bahkan, seorang ahli persatuan dikatakan pernah menerima ancaman bunuh kerana melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa.
Menurut sumber, perkara itu berlaku pada Mac lalu selepas kumpulan yang dikatakan menguasai Pasar Lama Borong Selayang tidak berpuas hati dengan tindakan berkenaan.Mangsa menerima ancaman bunuh ketika dihubungi melalui telefon oleh individu tidak dikenali dan membuat laporan polis pada 19 Mac lalu. Ini menunjukkan siapa sebenarnya yang menguasai kawasan ini.Sebelum ini, BH pernah melaporkan warga asing terutama Myanmar menguasai Pasar Borong Selayang dan mengaut untung berlipat ganda hasil nelayan tempatan dengan mengenakan caj tambahan kepada peruncit.Kebanyakan mereka bekerja dengan pemborong utama, tetapi dibenarkan mengenakan bayaran tambahan kepada peruncit yang akan menjual semula ikan kepada pengguna dengan harga lebih tinggi.Peniaga warga asing bebas berniaga di sekitar Pasar Borong Lama Selayang.BH turut menerima maklumat pembaca yang mendakwa, rantaian yang panjang itu juga berlaku disebabkan wujudnya kegiatan kongsi gelap yang menguasai kawasan tertentu, termasuk di pasar borong utama di seluruh negara.Ketika ini lebih 60 persatuan peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pasar borong di seluruh Lembah Klang berdaftar dengan Pendaftar Syarikat (ROS).Bagaimanapun, majoriti persatuan dipercayai tidak aktif dan ada segelintir didakwa menggunakan pengaruh politik untuk menguasai pasar borong dan mengaut keuntungan.
Sewa tapak haram sehingga RM200 sehari
Kegiatan kongsi gelap yang dikatakan memonopoli kawasan tertentu di pasar borong utama sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, bukan perkara baharu, malah sudah berlarutan sejak sekian lama.Siasatan wartawan BH di Pasar Borong Lama Selayang mendapati, anggota kongsi gelap terdiri daripada kumpulan berbeza dan biasanya menguasai tapak haram di sekitar pekarangan pasar.Seorang pengawal yang digelar ‘tauke’ akan menguasai sekurang-kurangnya empat lot haram dengan setiap lot berukuran 3.3 meter persegi.Dianggarkan lebih 80 tapak perniagaan di luar pasar dan ini tidak termasuk tapak gerai terbuka di tepi jalan utama.Setiap tauke mengenakan bayaran harian antara RM50 hingga RM200 bergantung jarak dan kedudukan dari pintu masuk utama pasar borong.Seorang peniaga sayur warga Myanmar, yang dikenali Samsu berkata, sewa tapak biasanya bergantung budi bicara tauke serta kedudukan strategiknya.
Kongsi tapak
“Sewa biasa RM50 sehari, tetapi ada tauke mengenakan sehingga RM200 sehari.“Biasanya, satu tapak dikongsi tiga peniaga yang bergilir-gilir bekerja selama lapan jam sehari.Tinjauan peniaga warga asing di sekitar Pasar Borong Selayang.“Jika ada pemilik tapak lain yang kurang pekerja, mereka boleh mengambil mana-mana peniaga sedia ada di lokasi yang sama,” katanya ditemui BH, baru-baru ini.Wartawan BH turut menghubungi seorang tauke lain yang dikatakan sedang mencari penyewa dan mendapati, wanita tempatan itu memiliki empat lot dan dia turut berniaga di tapak tidak berlesen di kawasan berkenaan.
Katanya, walaupun sewa minimum RM50 sehari bagi satu lot, ia dikurangkan kepada RM40 jika keadaan cuaca buruk seperti hujan atau ada operasi pihak berkuasa.Malah, wanita berusia lingkungan 50-an itu mengakui dia ahli sebuah persatuan di pasar itu dan turut memiliki satu lot untuk berniaga sayuran dan buah-buahan.“Saya ada tiga pekerja (warga asing) dengan upah RM70 bagi tempoh kerja lapan jam mengikut syif.“Mereka akan diberikan cuti sehari dalam tempoh sebulan,” katanya sambil bertanya sekiranya penulis berminat menyewa tapaknya.