Tabiat menabung perlu disemai kepada anak supaya apabila mereka dewasa kelak akan menjadi terbiasa dengan amalan menyimpan. Ia bukan saja berjayamengelakkan pembaziran tetapi pada masa sama, tabungan dibuat secara kecil-kecilan itu nanti boleh digunakan untuk menampung pembiayaan mereka pada masa depan.Ada orang sukar mengamalkan tabiat baik menabung walaupun ia nampaknya sangat mudah. Di sini diberikan sedikit panduan untuk dikongsi bagaimana caranya anda boleh berjimat cermat dan menabung secara bijak dan berhemah.
Berhenti merokok
Kata seorang kawan, sejak pengumuman harga baru rokok dia berusaha berhenti merokok. Hasilnya dia berjaya menjimatkan RM 20 seminggu. Bukan itu saja, kajian kesihatan membuktikan mereka yang tidak merokok memiliki usia yang lebih panjang dan dapat pula berjimat RM 1040 setahun.
Bawa bekalan ke tempat kerja
Mereka yang biasa membawa bekalan makan tengah hari ke tempat kerja tiga kali seminggu pula mampu berjimat paling minimum RM 30 seminggu. Ini membolehkan anda menyimpan sejumlah RM 1560 di bank pada tahun depan.
Cuci kereta sendiri
Selain berjimat anda boleh bersenam dan mengeluarkan peluh secara sihat jika anda melakukan sendiri kerja mencuci kereta pada setiap hujung minggu. Anda tahu bahawa pengusaha tempat cuci kereta mengenakan bayaran RM 9 sekali cuci dan ini bermakna anda boleh menjimatkan RM 36 sebulan dengan mencuci kereta anda sendiri, belum dicampur perkhidmatan lain seperti mengilat kenderaan. Ini membolehkan anda menabung sebanyak RM 1872 setahun yang lama kelamaan menjadi lebih banyak.
Beriadah di rumah
Sekiranya anda mendaftar dengan kelab kesihatan anda mungkin dikenakan bayaran RM 180 atau lebih sebulan. Tetapi sekiranya anda bersenam sendiri di rumah dengan cara berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan selama 30 minit setiap hari, jumlah yang dapat dijimatkan ialah RM 2160 sepanjang tahun itu.
Bayar bil kad kredit pada masanya
Jangan leka membuat pembayaran kad kredit bulanan anda tepat pada masa kerana dengan cara ini anda dapat mengelakkan denda kerana pembayaran lewat. Kalau boleh, selesaikan baik kad kredit secepat mungkin untuk mengelakkan caj faedah yang tinggi.
Ajar anak anda sendiri
Bagi ibu bapa yang ada masa lapang sebelah petang dan malam adalah lebih baik anda sendiri yang memberikan tuisyen kepada anak. Dengan cara ini anda mungkin boleh berjimat RM 360 sebulan bagi seorang anak manakala sebanyak RM 4320 setahun untuk dimasukkan ke dalam akaun tabungan keluarga. Bukan itu saja, anda boleh dapat menghabiskan masa yang berkualiti bersama anak yang disayangi malah menjadikan hubungan ibu bapa dan anak menjadi lebih mesra dan rapat.
Rancang pembelian barangan dapur
Mereka yang berjaya mendisplinkan diri ketika membeli belah iaitu hanya membeli barangan yang tertera pada senarai yang disediakan, jangan terperanjat kerana anda mampu berjimat sehingga RM 80 sebulan. Kalau tabiat ini berterusan, jumlah yang berjaya diselamatkan ialah RM 960 setahun.
Jelaskan bil anda menggunakan kemudahan Internet
Bersyukurlah dengan kemudahan perbankan Internet semuanya dapat dilaksanakan di hujung jari anda. Hasilnya anda dapat menjimatkan duit pos, bayaran letak kereta, pengangkutan awam dan duit minyak. Mungkin anda tidak tahu dengan menggunakan perbankan Internet anda telah berjimat RM 840 setahun.
Bayangkan kalau semua jumlah yang dijimatkan tadi berjaya dikumpulkan pada tahun itu, anda boleh menabung lebih daripada RM 12000 setahun. Apa yang anda boleh buat dengannya ialah menggunakannya pula untuk tujuan pelaburan saham amanah bagi mendapat pulangan jangka panjang yang menguntungkan.