6 APRIL 2019, KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini melancarkan kempen Kecekapan Tenaga (EE) dalam usaha mendidik rakyat negara ini mengenai kepentingan kemapanan persekitaran menerusi penjimatan tenaga.Dalam satu kenyataan hari ini, TNB menyatakan kempen itu bertujuan mencetuskan transformasi ke arah ekosistem tenaga masa depan yang mengimbangi antara kemapanan persekitaran, bekalan tenaga yang terjamin dan selamat serta pembangunan ekonomi yang optimum.Syarikat utiliti nasional itu turut menyifatkan mesej sedemikian sebagai amat penting dan ini jelas ketara pada bulan lepas apabila negara ini mengalami keadaan cuaca dengan catatan suhu panas tertinggi dalam tempoh beberapa tahun yang meningkatkan penggunaan pendingin hawa, kipas serta alat pendingin air dan melonjakkan penggunaan tenaga."Seiring dengan peningkatan permintaan terhadap tenaga pada masa ini, malah di peringkat global juga, kami yakin lebih banyak penggunaan tenaga secara cekap itu mampu dilaksanakan menerusi perubahan sikap penggunaan yang boleh mencetuskan peralihan minda," kata Ketua Pegawai Korporatnya, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.
Menurut TNB, wujud jurang ketara dari segi sikap penjimatan tenaga dalam kalangan rakyat Malaysia dan luar negara."Hasil kajian mendapati rakyat Malaysia lebih bersikap tidak acuh terhadap usaha penjimatan tenaga. Malah, laporan Fostering Effective Energy Transition 2018 (Penerapan Peralihan Tenaga Yang Cekap 2018) oleh Forum Ekonomi Dunia, menunjukkan rakyat Malaysia berada pada kedudukan lebih rendah berbanding negara Barat seperti Norway, Switzerland dan Sweden."Kajian itu menunjukkan kecekapan dan pelaksanaan langkah penjimatan tenaga serta kesediaan untuk beralih kepada tenaga yang selamat, mapan, berpatutan dan boleh dipercayai adalah kira-kira 15 peratus lebih tinggi di negara-negara tersebut yang membolehkannya melaksanakan pelaburan tenaga strategik bagi kepentingan alam sekitar.
"Corak penggunaan tenaga masa kini dan tekanan persekitaran yang berkaitan telah mencetuskan kebimbangan kerajaan membabitkan usaha pemuliharaan tenaga," katanya.Atas alasan itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin telah membangkitkan mengenai pelaksanaan kerangka pengawalseliaan, Akta Kecekapan dan Penjimatan Tenaga (EECA) bagi menggantikan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Kebangsaan yang digariskan bagi mencapai kecekapan tenaga sebanyak lapan peratus menjelang 2020.Sejajar usaha itu, TNB berkata kementerian itu komited untuk menaik taraf 50 bangunan kerajaan dengan lampu jenis LED (diod pemancar cahaya) dan peranti dengan nilai cekap tenaga (EEV) tinggi yang dijangkakan dapat memberi penjimatan sehingga RM47 bilion dalam tempoh 15 tahun.
Ketua Strategi dan Pengawalseliaan TNB, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin pula berkata Malaysia pada masa ini berada di satu persimpangan penting dari segi evolusi kecekapan tenaga."Memandangkan industri tenaga ini terus berkembang, TNB menyedari akan keperluan menepati cabaran tenaga global serta menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon," katanya.Menyedari kepentingan peranan TNB dalam perubahan yang sedang berlaku, Fazlur Rahman berkata syarikat utiliti itu mengambil tanggung jawab mengimbangi peralihan itu walaupun tiada kerajaan, industri atau institusi dapat menangani cabaran itu secara sendirian.Bersandarkan sumbangannya terhadap pembangunan negara, hasrat TNB adalah untuk meningkatkan kemampuan dan sentiasa seiring dengan peralihan ke arah negara berkarbon rendah dengan menggalakkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui, penerapan teknologi baharu sepanjang usaha operasi selain memperkasakan pelanggan untuk memanfaatkan penggunaan tenaga secara cekap.
Fazlur Rahman berkata tenaga merupakan nadi kesejahteraan ekonomi moden dan EE sebelum ini dipercayai menjadi pemacu pertama ekosistem tenaga global yang mapan.Malah, sepertimana kebanyakan perkara, ini turut bermula di rumah."Saya percaya ini boleh menjadi langkah pertama ke atas usaha mengurangkan impak perubahan iklim, jaminan tenaga yang lebih baik, pengembangan ekonomi hijau serta memberi manfaat alam sekitar yang kukuh," katanya.Ketika TNB memberi penekanan terhadap kepentingan kecekapan tenaga terhadap 9.1 juta penggunanya menerusi pengenalan inovasi produk dalam teknologi tenaga seperti meter pintar, Maevi® dan GSPARX® kepada isi rumah Malaysia, ia turut mengiktiraf peranan teknologi ini sebagai langkah pertama ke arah memperkasakan pelanggan ke aras industri tenaga mapan pada masa depan dan menyemai kesedaran persekitaran dalam minda rakyat negara ini.
Syarikat itu juga secara aktif melaksanakan kecekapan aspek kecekapan teknologi dan memastikan loji lama diselenggara dan jika perlu, dinaik taraf bagi mengekalkan kecekapannya.Ia turut bertindak menamatkan operasi loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Bersepadu yang tidak cekap dan digantikan dengan teknologi turbin gas terkini bagi memastikan loji itu mencapai kecekapan penjanaan tenaga sehingga 60 peratus.
"Malah, enam bangunan pengedaran TNB dipilih sebagai model bangunan cekap tenaga di negara ini," katanya.Menurutnya, menerusi Anugerah Tenaga ASEAN misalnya, Wisma TNB Jalan Timur telah disenaraikan sebagai tempat kedua Anugerah Pengurusan Tenaga bagi Bangunan dan Industri kategori Bangunan Besar di atas kecemerlangan, kreativiti, praktikal serta dedikasi dalam bidang kecekapan tenaga.TNB menyifatkan inisiatif itu berjaya membolehkan syarikat itu mengurangkan sehingga enam peratus penggunaan tenaga dalam bangunan."Kami percaya langkah kecil seperti inilah yang memberi kami kelebihan. Malah aspek kemapanan itu menjadi teras dalam semua perkara yang kami usahakan dan jelas terkandung dalam dasar syarikat serta berkait dengan strategi dan keputusan perniagaan kami," kata Roslan.
Beliau turut menegaskan, misi TNB adalah untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara dengan menyediakan tenaga yang selamat, terjamin dan boleh dipercayai kepada Malaysia."Bersandarkan kepentingan itu, kami mengemudi operasi berteraskan strategi yang jelas : melaksanakan inisiatif hijau yang mencakupi seluruh perniagaan kami daripada pengurusan jejak karbon di peringkat sendiri bagi menyediakan produk dan perkhidmatan tenaga yang bersih untuk pelanggan," katanya.
-BERNAMA