KUALA LUMPUR 19 Feb. - Polis menahan tiga lelaki dipercayai cuba menggodam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Jalan Changkat, Bukit Bintang, di sini kelmarin.Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, kejadian dikesan seorang anggota kira-kira pukul 9.30 malam yang kemudian membuat pemeriksaan ke atas sebuah mesin ATM berhampiran kedai serbaneka 24 jam tersebut.“Hasil pemeriksaan anggota tersebut dengan bantuan beberapa anggota Unit Rondaan Bermotor dan seorang awam telah menemukan satu unit benda asing yang mencurigakan dilekatkan pada ruangan atas papan kekunci mesin ATM dan satu lagi pada ruangan masuk kad ATM.“Pemeriksaan lanjut mendapati alat tersebut adalah komponen pengimbas kad kredit dan debit serta alat perakam video,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shaharuddin, selepas meneliti mesin ATM berkenaan, kesemua anggota itu telah membuat tangkapan terhadap tiga lelaki berusia antara 30 hingga 48 tahun berhampiran kedai serbaneka 24 jam tersebut.“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk disoal siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.Sementara itu, dua rakaman video berdurasi 13 saat dan 17 saat menunjukkan bagaimana peralatan tersebut ditemukan tular di media sosial bertujuan memberi peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/video-tiga-lelaki-ditahan-cuba-godam-mesin-atm-1.843995#ixzz5g38S0Z6C
© Utusan Melayu (M) Bhd