Air juga dikenali sebagai H20 yang dibentuk melalui ikatan dua atom hidrogen dan satu atom oksigen. Ia merupakan unsur yang amat penting bagi semua kehidupan termasuk manusia. Ia merupakan komposisi utama bagi tubuh manusia di mana kandungan air dalam badan kita adalah lebih kurang 70 %. Itu bermaksud organ badan kita tidak dapat menjalankan tugasnya masing-masing jika kekurangan kandungan air. Selain itu, air yang bersih boleh menjamin kesihatan kita selalu dan di sebaliknya kualiti air yang tidak baik akan menyebabkan kesakitan dan penyakit yang kronik.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Forum Air Malaysia ‘ Kajiselidik Kepuasan Pengguna Terhadap Penghijrahan Industri Perkhidmatan Air ke Rejim Perlesenan Baru di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 di Negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan’ telah menunjukkan 39-52% responden menggunakan penapis air di rumah. Ini menunjukkan para pengguna adalah mementingkan kualiti air yang digunakan untuk minum dan aktiviti harian. Bagi golongan yang tidak mempunyai penapis air di rumah, berkemungkinan besar mereka berasa puas hati dengan kualiti air yang disalurkan ke rumah ataupun mereka akan membeli air dari luar seperti air berbotol dan juga mesin jual air.


Walaupun air yang dibeli dari mesin jual air dilabelkan sebagai air tenaga ataupun air hidrogen yang akan membawa kebaikkan kepada tubuh badan kita namun begitu kualiti air yang ditapis dan dikeluarkan dari mesin tersebut merupakan satu persoalan di kalangan pengguna. Beberapa kajian telah dijalankan sebelum ini dan sehingga kebelakangan ini, isu kualiti mesin jual air telah dibangkitkan apabila pihak Forum Air Malaysia telah mendapati bahawa sampel air daripada beberapa mesin jual air mempunyai bakteria Koliform, E.coli dan Clostridium perfringens.

Jika mengikut Sistem Kawalan Keselamatan Mesin Jual Air yang diterbitkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) pada Tahun 2013, sumber bekalan air yang digunakan dan produk akhir dari mesin jual air mestilah mematuhi keperluan Peraturan-peraturan Makanan 1985 (Standard Bagi Air Minuman Berbungkus dan Air Dari Mesin Jual Air, Jadual ke-25 dan Standard Bagi Air, Jadual ke-25A) iaitu jumlah koliform adalah tidak melebihi 10, Koliform Termotoleran (E.coli) dan C.perfringens  adalah tiada di kesan dalam setiap 100ml. Daripada kajian tersebut,  ia menunjukkan sebahagian mesin jual air di sekeliling kita adalah tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

 



Kesan-kesan jika kita meminum air yang telah dicemari

Jika pengguna terminum air yang dicemari oleh bakteria-bakteria tersebut, ia berkemungkinan akan menyebabkan seseorang itu mengalami kesakitan perut, cirit-birit, loya dan sebagainya. Tanda-tanda ini akan berlaku apabila sistem immunisasi seseorang individu tidak cukup kuat seperti pesakit, bayi dan budak. 
Selain itu, ia juga akan menyebabkan perut kita berasa senang berangin dan sakit. Kebanyakkan masa, kita tidak akan terfikir ia mungkin disebabkan oleh bekalan air yang kita minum namun ini merupakan salah satu impaknya.



Cara-cara untuk mengelakkan pengambilan air yang tercemar

Kawasan rumah yang berkos rendah seperti bangunan flat dan kawasan kepadatan penduduk yang tinggi seperti kawasan yang mempunyai institusi pengajian tinggi merupakan sasaran pemilik mesin jual air untuk menetapkan lokasi untuk mesin tersebut. Air dari mesin jual air mungkin menjadi sumber air yang penting kepada mereka yang bergantung kepadanya selama ini.

Jadi, beberapa cara boleh dipertimbangkan oleh para pengguna sebelum membeli air dari mesin jual air untuk mengelakkan peratusan mendapat air yang tercemar.
a.    Memastikan mesin tersebut mempunyai label pensijilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia .
b.    Memastikan ia mempunyai pintu yang automatik tertutup selepas guna.
c.    Terdapat tarikh penyelenggaraan dilekatkan pada badan mesin.
d.    Adakah mesin tersebut sudah berkarat dan air bertakungan?

Jangan beli air daripada mesin tersebut sekiranya anda tidak mendapat jawapan bagi soalan- soalan di atas. 
Selain itu, didihkan air sebelum minum merupakan salah satu cara yang tradisi tetapi ia adalah berguna untuk membunuh bakteria.