Keghairahan wanita negara ini untuk tampil cerah dan berkulit putih gebu menyebabkan ramai yang sanggup melakukan apa saja demi memperoleh kecantikan yang diimpikan.
Golongan ini tidak kisah menghabiskan wang ribuan ringgit untuk mendapatkan hasil yang lebih pantas dan ketara.
Apabila produk-produk suplemen atau krim tidak berkesan atau lambat menunjukkan hasil, mereka mula mempercayai akan keberkesanan suntikan vitamin C yang dikatakan mampu memutih dan mencerahkan kulit.
Tanpa berfikir panjang, ramai yang tidak mempedulikan langsung mengenai kesahihan kandungan sebenar suntikan yang dikatakan mengandungi vitamin C, bahkan tidak kisah dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pusat-pusat kecantikan, meskipun Kementerian Kesihatan tidak pernah meluluskan penggunaannya kerana boleh memudaratkan.
Sudah termaktub salah di sisi undang-undang mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1989 (PPKDK 1989), namun penjualannya masih berleluasa dan diiklankan secara terbuka di media sosial. Ini kerana adanya permintaan yang tinggi dalam kalangan wanita di negara ini.
Menurut Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. Zairizam Zakaria, permintaan terhadap suntikan vitamin C mula menular di dalam negara sejak lima tahun kebelakangan.
Ini apabila mula diperkenal oleh negara-negara jiran, walaupun tiada bukti saintifik mengatakan mampu memutih dan mencerahkan kulit.
“Sebenarnya badan kita hanya memerlukan sedikit sahaja kandungan vitamin C, iaitu kira-kira 75 hingga 90 miligram (mg) sehari untuk mengekalkan kadar metabolisme di bawah kulit bagi membentuk kolagen, selain berfungsi untuk kesihatan gusi dan tisu badan.
“Namun, apa yang berlaku, kita mengambilnya tanpa mengetahui keperluan sebenar tubuh badan, malah kita mengambilnya secara berlebihan yang hanya mengundang pelbagai risiko kesihatan seperti kerosakan buah pinggang,” katanya ketika ditemui Mega Rona baru-baru ini.
Jelasnya, vitamin C merupakan vitamin larut air yang diproses melalui buah pinggang yang mana sebarang lebihan akan dikumuhkan ke dalam air kencing.
kesan sampingan
“Pengambilannya secara berlebihan juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti cirit-birit, loya, muntah, dan ketidakselesaan pada perut.
“Apa yang membimbangkan, sesuatu produk suntikan tersebut mungkin mengandungi bahan-bahan terlarang yang menyebabkan ia tidak pernah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.
“Ini boleh membahayakan pengguna yang mungkin alahan pada bahan-bahan tersebut,” katanya.
Selain itu, menurut Dr. Zairizam, apa-apa suntikan menggunakan jarum ke dalam salur darah mempunyai risiko, seperti jangkitan pada salur darah atau kulit berbanding mengambilnya secara tablet.
Penyediaan suntikan tidak dapat dipastikan kebersihannya dan melalui prosedur steril, malah lebih membimbangkan jika tersalah tempat cucuk akibat dilakukan oleh mereka yang bukan profesional.
Walaupun tidak memutihkan, beliau tidak menafikan mereka yang mengamalkan vitamin C akan memperoleh kulit lebih cantik dan anjal, selain membantu masalah selesema.
Namun, persoalannya mengapa pengguna perlu mengambil kaedah suntikan?
Katanya, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli tablet-tablet vitamin C yang telah diluluskan Kementerian Kesihatan.
Malangnya, mereka tetap memilih kaedah suntikan kerana mempercayai keberkesanannya apabila melihat testimoni-testimoni yang dipaparkan pada iklan.
Ujarnya, sehingga kini tiada bukti saintifik mengatakan vitamin C mampu memutihkan kulit.
Sebagai pengamal perubatan yang biasa berurusan dengan pesakit yang mahukan kulit wajah yang cantik, Dr. Zairizam berkata, antara kaedah-kaedah lain yang boleh dicuba seperti pengelupasan kimia (chemical peeling) atau pengelupasan laser (laser resurfacing) bagi membantu pembentukan kulit baharu yang lebih halus dan berseri.
Namun demikian, beliau mengingatkan bukan semua kaedah pengelupasan baik untuk kulit wajah kerana mempunyai risiko seperti meninggalkan parut dan pigmentasi bagi sesetengah pesakit.
“Berjumpalah pakar kecantikan yang berlesen seperti doktor dermatologi atau bedah plastik kerana mereka lebih tahu apa yang bersesuaian dengan kulit pengguna.
“Orang ramai juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk kecantikan di laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk melihat bahan aktif atau kandungan bahannya.
“Jika tiada maklumat yang tertera, bermakna produk tersebut tidak diluluskan oleh kerajaan,” katanya mengakhiri bicara.
Sumber:- http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/cantik-tanpa-mudaratkan-diri-1.479247