'Bank-bank adalah Ah long berlesen' adalah ungkapan benci yang dilontar oleh pelanggan yang ditindas oleh bank, satu institusi yang dilesenkan dan dikawalselia supaya kemudahan pembiayaan serta penyimpanan membawa kemakmuran kepada pelanggan.

Tindak-tanduk dan amalan tidak adil yang seakan tidak dipedulikan oleh agensi kawalselia Bank Negara Malaysia makin menindas pelanggan-pelanggan bank.


Bank-bank diwujudkan supaya pembiayaan dapat disediakan kepada mereka-mereka yang layak dan memerlukan. Pertanyaan tentang pinjaman yang dijawab dengan selamba bahawa bank-bank hanya menawarkan pinjaman kepada kakitangan kerajaan, syarikat GLC dan syarikat-syarikat 'blue-chip' menampakkan bank-bank ini kini memperolehi keuntungan dahsyat dengan tanpa risiko.

Apakah bank-bank ini telah dayus sebagai institusi kewangan dengan amalan seperti ini? Apakah bank-bank ini memahami peranan dan tanggungjawab mereka? Ataupun ketua-ketua eksekutif bank-bank 'play-safe' dan tidak berani menguruskan bank sebagai bank?

Bank Negara sedar tidak kesan sosial dan ekonomi daripada amalan bank-bank ini?

Bila meneliti pengurusan pinjaman oleh bank-bank mendapati tindakan-tindakan berunsur membelakangkan kepentingan bank dan juga peminjam. Keputusan-keputusan pegawai kutipan (recovery) seakan menambah kos pengurusan dan tentu sekali memangsa peminjam. Semua peminjam dinanti-nanti memasuki pelbagai perangkap dalam bentuk terma dan syarat yang terang-terang memihak kepada bank.

Bank-bank menanti alasan sekecil mungkin untuk mengenakan pelbagai caj-caj penalti seakan 'tali mahal daripada lembu'.

Sering pelanggan dikenakan bayaran notis peguam antara RM50 hingga RM100 untuk kelewatan membayar ansuran ataupun bayaran kad kredit bernilai tidak melebihi RM200.

Persoalannya apakah alasan bank-bank menggunakan perkhidmatan peguam untuk kelewatan membayar?

Pelanggan-pelanggan yang membantah dengan mudah dikecualikan dari membayar bayaran notis peguam sedemikian.

Bagaimanakah amalan ini dibiarkan memangsa pelanggan-pelanggan yang tidak teliti, buta huruf ataupun tidak berani menuntut haknya dengan tegas?

Berbalik kepada tindakan kutipan hutang, pegawai terlibat teramat mudah-mesra menggunakan perkhidmatan peguam, tukang tarik, tukang-tukang lelong, agen-agen hartanah dan sebagainya. Teramat kerap berlaku kejadian peminjam yang tertunggak lebih sebulan disyaratkan membayar sepenuh tunggakan sekali gus.

Tatkala ini, semua saluran untuk membayar dihalang supaya nilai ansuran biasa tidak diterima melainkan nilai tertunggak sepenuhnya. Apakah objektif bank untuk mengamalkan tindakan sedemikan?

Tindakan ini terus melipatgandakan tunggakkan bulanan supaya selepas 2 bulan 21 hari pihak pembiaya sewa beli boleh memanggil agen untuk menarik barangan yang sewakan di bawah perjanjian sewa-beli.

Setelah penyewa hilangkan barangan disewa, ia bergantung belas kasihan pembiaya/bank walaupaun penarikan barangan (biasanya kereta) dilakukan tanpa mematuhi Garis Panduan Pengambilan Barangan di bawah Akta Sewa-beli kerana garis panduan diwujudkan sekadar untuk menghalalkan tindakan tidak terkawal tukang-tukang tarik kerana garis panduan tidak memperuntukkan sebarang tindakan ataupun hukuman ke atas ketidak-patuhan garis panduan ini.

Sebagai peminjam yang dinilai layak untuk menerima pinjaman/pembiayaan sewa-beli harus diberi ruang rundingan dan bantuan yang wajar untuk menyelesaikan kekangan kewangan yang seharusnya menjadi objektif utama bank-bank. Tindakan yang lebih bertimbangrasa tentu lebih murah dan menguntungkan kepada bank samping mengelakkan kesan-kesan sosial yang tentu memberi tanggapan negatif serious terhadap bank-bank.

Ingat, peminjam hilang barangan yang dibeli walaupun telah membayar sebahagian daripada nilainya dan jika nilai lelongan setelah tolak upah menarik dan menyimpan adalah rendah daripada baki hutang, penyewa masih tanggung hutang!

Juga tindakan-tindakan muflis juga mendapati terang-terang membelakangkan kepentingan bank di mana nilai lelongan yang amat rendah diutamakan, walaupun peminjam berjaya mendapatkan pembeli dengan harga amat manasabah.

Apakah ketua-ketua eksekutif serta pegawai-pegawai kanak bank-bank menyedari amalan-amalan pecah amanah di kalangan kakitangan kutipan hutang seakan setongkol dengan pihak-pihak luar yang menanti faedah daripada tindakan seperti lelongan 'awam' yang diketahui umum bahawa ia dimanupulasi secara terancang.

Dengan suasana pengurusan bank-bank yang sedemikian, apakah bank-bank tempatan layak dan sedia untuk regim kawalselia kendiri?

Jika tiada kawalan yang berkesan dikenakan ke atas bank-bank,bank-bank akan gagal dengan pendarahan dalaman sambil menghisap darah pelanggan untuk menggantikan ketirisan dialami daripada manupulasi dalaman.

Ayuh bangunlah Bank Negara!

Oleh Muhammad Sha'ani bin Abdullah
National Consumer Complaints Centre (NCCC)