Mesyuarat Pihak-Pihak yang bakal berlangsung pada 29 November hingga 10 Disember 2010 di Cancun, Mexico akan berbincang dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi kekurangan yang berlaku semasa COP15 di Copenhagen tahun lalu.

COP15 yang berlangsung di Copenhagen tahun lalu sepatutnya merangka satu protokol yang baru bagi menggantikan Protokol Kyoto dan meratifikasikan satu perjanjian jangka masa panjang yang sah pada hujung tahun 2012. Malangnya, usaha ini tidak tercapai.

Apa yang berjaya diwujudkan adalah Persetujuan Copenhagen, yang merupakan satu kemas kini untuk Bali Roadmap yang dihasilkan pada tahun 2007 semasa COP13. Bali Roadmap telah menyediakan satu garis panduan bagi menyediakan satu protokol baru yang bakal menggantikan Protokol Kyoto.

Pada masa itu, semua orang telah sedar bahawa sekiranya penurunan pembebasan gas rumah hijau masih ditangguhkan, maka peluang untuk mencapai tahap kestabilan dan risiko kesan-kesan perubahan iklim akan bertambah parah.

Walaupun Persetujuan Copenhagen tidak melahirkan sebuah perjanjian yang kukuh, sekurang-kurangnya ia telah mengiktirafkan kepentingan bagi menurunkan pembebasan gas rumah hijau pada kadar yang besar. Walau bagaimanapun, pada masa ini masih lagi berlaku perdebatan mengenai janji-janji penurunan pembebasan gas rumah hijau, pemantauan, pengesahan dan juga laporan status pelepasan gas.

Persetujuan tersebut juga mengutarakan isu-isu tentang usaha-usaha yang diguna pakai untuk mengurangkan kesan-kesan perubahan iklim terhadap alam semula jadi dan manusia, pertukaran teknologi dan juga pengenyahhutanan. Harapan sekarang adalah kepada mesyuarat di Cancun nanti yang boleh memberikan satu gambaran yang jelas tentang usaha-usaha adaptasi dapat ditanggung, dari mana dan bagaimana pelaburan kewangan dapat dilakukan.

Beberapa mekanisme telah sedia ada, seperti Kyoto Protocol Adaptation Fund, World Bank Program on Climate Resilience dan Global Environment Facility. Setiap mekanisme ini akan berunding dan berbincang bagi mendapatkan hasil yang berkesan dan menentukan kaedah yang lebih berkesan.

Kunci kejayaan mesyuarat Cancun yang bakal berlangsung ini bergantung kepada kesungguhan dan keberkesanan usaha pertukaran teknologi di antara negara maju dan juga negara sedang membangun. Di samping itu, beberapa persoalan seperti bagaimana kapasiti penyelidikan dan struktur kerajaan di negara-negara membangun dapat dipertingkatkan bagi memastikan peralihan teknologi dan kewangan yang berkesan dan juga garis panduan bagi peranan-peranan yang perlu dimainkan, harus ditangani dalam mesyuarat tersebut.

Cabaran semasa di Cancun juga akan merangkumi penyediaan matlamat-matlamat bagi mengurangkan pembebasan gas rumah hijau daripada pengenyahhutanan, pemuliharaan hutan dan pengurusan lestari bagi hutan. Isu-isu ini meliputi pengenalpastian dan juga memahami faktor-faktor yang mendorong pengenyahhutanan dan bagaimana untuk mencapai pemantauan yang berkesan.

Sememangnya Persetujuan Copenhagen tidak mencapai matlamat-matlamat yang mula-mula dibayangkan, tetapi ia telah memberikan isyarat untuk melangkah ke hadapan bagi perjanjian pasca-2012. Dapat dibayangkan bahawa struktur, isi-kandungan dan reka bentuk pengganti Protokol Kyoto akan tercapai semasa Mesyuarat Pihak-Pihak di Cancun nanti.

Akhirnya, mesyuarat di Cancun ini sekurang-kurangnya dapat memastikan bantuan yang mencukupi kepada negara-negara mundur dan Negara yang menerima kesan perubahan iklim yang paling buruk serta komitmen yang jelas dan telus daripada semua pihak dalam UNFCCC bagi menangani masalah perubahan iklim.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia