Cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meminda Akta Pemajuan Perumahan bagi membolehkan dakwaan dibuat terhadap pemaju projek perumahan yang terbengkalai amat wajar sekali.
Ketiadaan peruntukan untuk mengalami tindakan kepada pemaju seperti ini dalam Akta tersebut menyebabkan pengguna seringkali berhadapan dengan risiko membeli rumah yang terbengkalai.
Biarpun mereka tidak dapat menduduki rumah tersebut, namun pinjaman untuk membiayai pembelian rumah itu masih perlu dibayar.
Sedangkan pemaju projek perumahan yang terbengkalai telah mendapat sebahagian daripada wang mereka berdasarkan bayaran kemajuan.
Cadangan untuk mendakwa pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan ini bertujuan untuk memberi amaran kepada pemaju agar tidak mengambil mudah dalam membangunkan sesuatu projek perumahan. Kemelesetan ekonomi pada akhir tahun 1990-an yang menyebabkan banyak projek perumahan terbengkalai perlu dijadikan iktibar. Malahan dalam keadaan ekonomi yang baik pun masih ada projek perumahan terbengkalai kerana kegagalan pengurusan kewangan pemaju.
Lantaran konsep pemajuan projek perumahan pada masa ini berdasarkan “Beli dan Bina” menyebabkan pemaju hanya akan melaksanakan sesuatu projek sekiranya telah ada pembeli. Sekiranya pemaju tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk meneruskan projek, maka projek itu ditinggalkan terbengkalai.
Keadaan ini tidak akan berlaku sekiranya konsep “Bina dan Jual” dilaksanakan. Pembeli tidak akan menanggung sebarang risiko kerana mereka hanya akan membeli rumah yang telah siap dibina. Dalam hal ini pemaju akan berhati-hati apabila merancang sesuatu projek bagi memastikan mereka tidak mengalami kerugian.
Justeru, selain daripada meminda akta pemajuan perumahan bagi mengatasi masalah rumah terbengkalai, kerajaan juga perlu mempunyai perancangan agar konsep “Jual dan Bina” akan dilaksanakan pada masa akan datang, selaras dengan gagasan Perdana Menteri, “Rakyat Didahului, Pencapaian Diutamakan”.
MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)