Semasa berborak secara maya dengan seorang kawan yang kini belajar di Universiti Monash, Melbourne, salah satu topik perbualan adalah berkisar tentang jadual pengambilan sampah di kawasan bandar raya Monash. Kawan saya menceritakan bahawa lori sampah di tempatnya akan mengutip sampah-sampah tertentu pada hari yang ditetapkan. Tong sampah diletakkan dalam tiga warna berbeza – merah (sisa domestik), kuning (barangan kitar semula) dan hijau (rumput, dahan pokok, bunga dan sebagainya).
Tong kuning dan tong hijau akan dikutip pada satu hari tetap setiap minggu secara bergilir. Sekiranya penghuni rumah tersalah meletakkan tong di hadapan rumah untuk dikutip, mereka akan dihon oleh pemandu lori sampah. Keadaan ini akan memberi ingatan pada bila-bila tentang jadual berkala yang telah disediakan.
Majlis perbandaran Monash juga mempunyai Pelan Strategik Pencegahan Pembuangan Sampah di kawasan kota rayanya yang berkuatkuasa semenjak Julai 2009. Pelan strategik ini bertujuan untuk mengurangkan pembuangan sampah di tempat-tempat awam. Ini sekaligus mengurangkan kos dan waktu pengutipan sampah. Elemen yang dikenal pasti untuk menjayakan strategik ini adalah pendidikan, infrastruktur dan penguatkuasaan..
Bercerita dengan situasi yang sama di kawasan rumah saya, lori sampah akan datang setiap hari pada kira-kira 8.30 pagi. Semua sampah dimasukkan ke dalam dua tong besar yang disediakan. Apabila ditanya mengenai sama ada tong kitar semula disediakan, saya tidak menjawab. Saya tidak pasti sama ada budaya mengitar semula wujud dalam kalangan penduduk perumahan itu, walaupun saya berusaha membahagikan dua plastik; sampah dan barangan kitar semula. Saya juga tidak pernah melihat tong kitar semula. Yang pasti, di luar pejabat saya mempunyai tong kitar semula itu. Teman sepejabat akan menelefon lori kitar semula apabila tong-tong itu telah dipenuhi. Begitu juga kurang kelihatan iklan di televisyen mengenai kempen kitar semula kini. Adakah kita mula melupakannya?
Kajian (William at el 1997) menunjukkan tingkah laku pembuangan sampah oleh seseorang individu bergantung kepada lokasi, sampah yang dibuang dan pergerakan secara berkumpulan atau individu. Maka, menjadi tanggungjawab kita semua untuk menghidupkan semula budaya kitar semula ini demi menjaga kebersihan bersama. Kita tidak seharusnya menunggu kempen, atau berita orang cedera di baling plastik sampah dari tingkat atas atau kes denggi. Kita harus mulakan kerana ‘perubahan bermula dengan saya’
Azwa Abdul Rahman
ERA Consumer Malaysia