Iklan produk yang mengelirukan semakin berleluasa dalam pelbagai media. Kewujudan banyak produk kesihatan di pasaran menyebabkan pengeluar produk ini menggunakan pelbagai kaedah bagi memastikan pengguna memilih produk mereka.

Dakwaan tentang khasiat produk yang keterlaluan dalam iklan tersebut menyebabkan semakin ramai pengguna yang terperdaya. Keadaan ini seolah-olah menunjukkan tidak ada peraturan yang mengawal tentang iklan yang mengelirukan di negara ini.

Sebenarnya banyak peraturan yang wujud berkaitan iklan produk. Sebagai contoh, produk kesihatan dan ubat-ubatan tertakluk kepada Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956. Begitu juga Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Perlindungan Pengguna 199 boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap penjual yang mengiklankan produk yang mengelirukan.

Namun persoalannya siapakah yang memantau iklan-iklan yang mengelirukan ini. Pada masa ini wujud sebuah badan yang dikenali sebagai Lembaga Piawaian Pengiklanan Malaysia yang ditubuhkan oleh syarikat pengiklanan sebagai badan pengawal selia kawalan kendiri dalam industri pengiklanan. Sebarang aduan iklan yang mengelirukan dikemukakan kepada badan ini. Walau bagaimanapun, badan ini yang mengendalikan iklan yang berkaitan ahli mereka sahaja.

Menyedari semakin berleluasanya iklan yang mengelirukan ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999, dengan memasukkan klausa penubuhan Jawatankuasa Pengiklanan bagi memantau iklan-iklan yang disasarkan kepada pengguna.

Pindaan yang telah dibentangkan dan diluluskan oleh parlimen pada tahun 2010, akan berkuatkuasa pada 2011. Apabila jawatankuasa ini diwujudkan kelak, iklan-iklan yang disiarkan dalam pelbagai media ini akan dipantau dan diambil tindakan. Pengguna juga mempunyai saluran yang jelas tentang pihak boleh mereka adukan sekiranya mereka mengenal pasti kewujudan iklan-iklan yang mengelirukan.

Walaupun peraturan kawalan kendiri wajar menjadi amalan dalam sektor perniagaan, namun kewujudan sebuah badan bebas juga perlu diwujudkan bagi memastikan tiada ada pihak yang cuba memanipulasi pasaran, yang akhirnya nanti pengguna juga yang teraniaya.

 


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)