Kerajaan mengumumkan bahawa harga bahan berasaskan petroleum, seperti petrol, diesel dan gas minyak masak akan  disemak pada bulan Jun ini. Ini selaras dengan cadangan Makmal Rasionalisasi Subsidi yang dibentangkan pada hari terbukanya pada 27 Mei 2010.

Berdasarkan cadangan makmal tersebut, harga petrol akan disemak setiap 6 bulan sekali, iaitu kenaikannya sebanyak 10 sen seliter bagi setiap semakan, sehingga tahun 2012. Harga Petrol RON95 dijangkakan sebanyak RM2.60 seliter pada tahun 2012. Begitu juga dengan LPG yang akan dinaikkan sebanyak 20 peratus setiap tahun.

Jika setiap cadangan makmal rasionalisasi subsidi ini dilaksanakan, pada tahun 2012, semua subsidi akan diselaras secara berperingkat sehingga akhirnya ia dimansuhkan terus. Ketika itu, harga barang tersebut akan ditentukan oleh harga pasaran.


Cadangan pelarasan subsidi ini dibuat kerana kerajaan terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk menanggung subsidi tersebut. Pada tahun 2010, kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM10.32 bilion bagi barang keperluan dan bahan api, iaitu RM789 juta bagi gula, tepung gandum (RM89 juta), minyak masak (RM813 juta), beras ST15 (RM486 juta), RON95 (3.13 bilion), diesel (RM3.95 bilion) dan gas LPG (RM1.43 bilion).

Walau bagaimanapun, cadangan kerajaan untuk menaikkan bahan berasaskan petroleum itu membimbangkan para pengguna kerana khuatir kenaikan tersebut akan menyebabkan kesan rantaian kepada barang lain yang menggunakan bahan api dalam operasi mereka. Pengalaman peningkatan harga barang mendadak selepas kerajaan menaikkan harga bahan api sebanyak RM2.70 pada 5 Jun 2008, menyebabkan kebimbangan tersebut ada asasnya.

Namun begitu, kali ini kerajaan telah bersedia untuk menghadapi peniaga yang menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya apabila Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan mula berkuatkuasa pada 1 April 2011. Begitu juga bagi menangani wujudnya pakatan sektor perniagaan tertentu dalam menentukan harga dan bekalan, kerajaan akan melaksanakan Akta Persaingan pada 1 Januari 2012.

Walaupun FOMCA berpandangan bahawa peruntukan subsidi yang diamalkan pada masa ini tidak menepati matlamatnya, namun FOMCA berharap cadangan kerajaan untuk melaraskan subsidi tersebut perlulah dilaksanakan secara berperingkat agar kesannya tidak terlalu besar. Dalam masa yang sama FOMCA juga berharap kerajaan perlu menyediakan program jaringan sosial yang mantap bagi membantu golongan yang miskin dan berpendapatan rendah, serta golongan berpendapatan sederhana yang banyak tanggungannya, tidak mengalami bebanan kos sara hidup. 

Selain itu kerajaan juga perlu mempunyai perancangan jangka panjang agar rakyat Malaysia tidak terlalu bergantung kepada barang-barang yang diberikan subsidi oleh kerajaan seperti bahan api dan bahan makanan. Sistem pengangkutan awam perlu diperbaiki dan dinaik taraf sehingga ia benar-benar menjadi pengangkutan utama rakyat. Penambahbaikan sistem pengangkutan awam tidak hanya tertumpu kepada kawasan ibu kota dan bandar utama sahaja, tetapi juga merangkumi  kawasan luar bandar dan pendalaman.

Dasar jaminan makanan juga perlu diberikan perhatian yang serius bagi memastikan bahan makanan utama rakyat dapat dihasilkan dalam negara, tanpa perlu bergantung kepada bahan makanan import.

Kerajaan juga perlu menjadi contoh yang baik kepada rakyat. Dalam masa kerajaan meminta rakyat berjimat cermat dalam perbelanjaan, kerajaan juga perlu memastikan perbelanjaan kerajaan juga dilakukan secara berhemat. Program yang dianjurkan oleh kerajaan dan agensinya tidak wajar diadakan secara besar-besaran sehingga menjangkau jutaan ringgit.

Demikian juga ketirisan yang berlaku terhadap barang bersubsidi seperti penyeludupan ke negara jiran yang jumlahnya agak banyak. Masalah ini hendaklah diatasi dengan semaksimum mungkin, melalui kerjasama pelbagai agensi penguatkuasa yang lain, seperti polis, kastam, rela dan sebagainya.

Semasa pembentangan cadangan makmal rasional subsidi dahulu, pemandu turut mencadangkan beberapa langkah untuk mengurangkan beban rakyat apabila pelarasan subsidi dilaksanakan.

Bagi meringankan pemilik kenderaan, kerajaan akan memberikan rebat tunai kepada  setiap pemilik tunggal kenderaan, iaitu sebanyak RM126 setahun bagi kereta 1,000 cc ke bawah dan RM54 setahun bagi motorsikal 250 cc ke bawah. Untuk membantu golongan sasar terhadap kesan kenaikan harga barang akibat daripada pelarasan subsidi terhadap bahan makanan pula, kerajaan akan memperuntukkan rebat tunai sebanyak RM20 bagi setiap orang pada tahun pertama, yang boleh dituntut di pejabat pos dengan menggunakan MyKad atau MyKid. Manakala pada tahun kedua pula, diskaun pembelian barangan akan diberikan kepada golongan sasar yang memenuhi paras pendapatan tertentu dengan menggunakan kad MyKasih. Golongan sasar ini boleh membeli barang tersebut di kedai khusus yang akan diwujudkan nanti.

Kerajaan telah mula melaksanakan pelarasan subsidi dengan menaikkan harga gula dan bahan api, tetapi bantuan kepada rakyat sebagaimana yang dicadangkan itu belum ditentukan pelaksanaannya. Ini sudah pasti akan menimbulkan persoalan kepada rakyat. Oleh itu, wajar kerajaan memberikan penjelasan tentang hal ini.

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)