Pengguna sering menjadi mangsa penipuan yang dilakukan secara terang-terangan. Ini disebabkan mereka kurang pengetahuan dan kesedaran tentang isu-isu kepenggunaan semasa. Namun ini bukanlah satu alasan untuk membiarkan mangsa penipuan itu tanpa sebarang bantuan. Kerugian yang dialami oleh pengguna boleh mencecah ribuan ringgit.

Majoriti pengguna tidak mengetahui hak mereka untuk mendapatkan kembali wang. Hak untuk mendapat gantirugi adalah hak pengguna. 

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional telah menerima aduan daripada seorang warga tua yang berasa tidak puas hati terhadap pampasan yang sepatutnya diterima setelah mahkamah membuat keputusan yang menyebelahinya.

 

Beliau telah melalui pengalaman perit dalam usaha mendapatkan wang pampasan yang telah diputuskan oleh Makhamah pada tahun 2004. Tidak ramai orang yang bersedia untuk membawa masalah mereka ke muka pengadilan kerana terpaksa mengeluarkan belanja yang bukan sedikit. Tetapi setelah menghabiskan saki baki wang simpanan untuk bayaran guaman dan kos makhamah, beliau masih belum mendapat wang pampasan tersebut. Walaupun sudah tujuh tahun pengguna berkenaan terpaksa berulang alik ke pejabat peguam untuk mendapatkan status pampasan,  namun pejabat peguam tersebut memberikan pelbagai alasan diberikan. Amat malang bagi seorang pengguna, yang merupakan warga tua ini, tidak mendapatkan hak untuk mendapatkan pampasan,  

Adakah pengguna terpaksa bersabar hingga membiarkan wang pampasannya hilang begitu sahaja kerana tiada tindakan atau nasihat daripada pihak guaman? Berdasarkan peraturan, adalah satu kesalahan, merupakan penghinaan terhadap mahkamah sekiranya keputusan makhamah tidak dilaksanakan. Tetapi tanpa nasihat daripada peguam, pengguna tidak sedar mengenai peluang yang ada sekiranya keputusan mahkamah itu tidak diendah.

Adakalanya perkhidmatan yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab akan menyebabkan pengguna yang menjadi mangsa kerana kepentingan mereka tidak diutamakan. Pengguna yang membayar dan menanggung beban kos yang tinggi kerana tidak mendapatkan perkhidmatan yang berpatutan. 

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)