Kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan harga bahan api seperti petrol RON95, diesel dan LPG pada masa ini. Keputusan ini disambut dengan perasaan lega oleh para pengguna di Malaysia.
Namun begitu, pelarasan subsidi akan disemak semula dalam tempoh enam bulan akan datang, berdasarkan kepada cadangan Makmal Rasionalisasi Subsidi. Makmal mencadangkan subsidi petrol dan diesel disemak setiap enam bulan sekali dengan kenaikan sebanyak 10 sen setiap kali semakan dilakukan, manakala LPG pula disemak setiap tahun dengan kenaikan sebanyak 20 peratus.
FOMCA menyambut baik keputusan yang dibuat oleh kerajaan. Namun begitu, FOMCA juga berpandangan pelarasan subsidi perlu dilakukan secara berperingkat agar kesannya tidak dialami secara mendadak. Pemberian subsidi yang dilaksanakan pada masa ini bersifat tidak mampan sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi yang tinggi.
Dalam masa yang sama kerajaan juga perlu memastikan golongan miskin, berpendapatan rendah dan sederhana tidak menghadapi bebanan kos sara hidup sekiranya pelarasan subsidi dilaksanakan.
Oleh itu, kerajaan perlu membuat perancangan untuk memastikan pelarasan tersebut tidak memberi kesan kepada rakyat, seperti sistem pengangkutan yang bersepadu, skim jaringan sosial dan sebagainya. Perancangan ini perlu didedahkan kepada rakyat dan dari semasa ke semasa perkembangannya dilaporkan, sebagaimana yang dilakukan oleh Pemandu terhadap Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan.
Malaysia sedang menuju ke arah negara maju pada tahun 2020. Hanya tinggal 9 tahun lagi ke arah itu. Negara maju tidak hanya terletak kepada pembangunan, tetapi juga minda masyarakat. Masyarakat perlu bersedia untuk berfikiran seperti rakyat negara maju. Namun itu hanya boleh dilakukan jika kerajaan juga telah melaksanakan pembangunan dan persediaan sebagaimana yang sepatutnya bagi sebuah negara maju, seperti prasarana, undang-undang, tangga gaji pekerja, skim jaringan sosial dan sebagainya.
Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia