Malaysia adalah antara negara-negara di rantau Asia yang banyak menyumbang kepada pemanasan dunia melalui pelepasan gas rumah hijau (GHG emission) melalui pelbagai industri dan sistem pengangkutan.
Secara langsung atau tidak langsung, negara sedang menyumbang ke arah perubahan iklim dunia yang mendadak dan tidak menentu disebabkan oleh peningkatan dalam GHG. Antara gas-gas rumah hijau (GHG) penyumbang terbesar kepada pemanas global dunia ialah karbon dioksida (CO2).
Pelepasan karbon dalam negara telah melepasi tahap kitar semula yang normal, iaitu gas karbon dioksida di udara (CO2) diserap balik oleh tumbuh-tumbuhan dari atmosfera secara semula jadi.
Gas CO2 yang melepasi tahap semula jadi ini akan kekal sebagai gas berlebihan di atmosfera dan memerangkap haba daripada cahaya matahari yang dibalikkan oleh bumi. Haba yang terperangkap melalui gas CO2 inilah yang menyebabkan berlakunya pemanasan global.
Menyedari tentang bahaya yang diakibatkan oleh pemanasan global ini, kerajaan telahpun mengambil beberapa langkah penting untuk mengurangkan kesan karbon di udara dan air serta jumlah keseluruhan jejak karbon yang disumbangkan oleh individu. Pengubalan Dasar Teknologi Hijau Negara dijangka melahirkan budaya baru di negara ini dalam dekad yang akan datang, iaitu budaya hijau yang menggunakan tenaga secara berhemat dan berjimat serta proses penghasilan tenaga yang tidak mencemarkan alam sekitar.
Dalam usaha untuk mengurangkan kadar CO2 berlebihan dalam udara serta dapat mengelakkan tahap GHG daripada terus meningkat, maka penggunaan sumber tenaga yang berbentuk bahan api fosil hendaklah dikurangkan sebanyak yang mungkin. Penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui, yang menggunakan teknologi hijau, perlulah dipergiat dengan segera dalam Rancangan Malaysia Ke-10.
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menggunakan lima Teras Strategik sebagai tiang penyokong untuk Dasar Ekonomi Negara Malaysia. Antara teras-teras tersebut ialah Teras Strategik 4 mengenai menggiatkan Penyelidikan dan Inovasi Teknologi Hijau. Di dalam Teras Strategik 4 ini, terdapat penyediaan dana kewangan dan bantuan untuk sektor awam dan swasta dalam aspek-aspek seperti Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi dan Pengkomersilan (RDIC). RDIC bertujuan untuk menghasilkan teknologi baru, aplikasi & teknik bagi mengurangkan kos teknologi hijau serta mempromosikan penggunaannya.
Walaupun kerajaan mempunyai perancangan yang berkaitan dengan tenaga yang boleh diperbaharui, namun dalam bajet 2012, tidak terdapat sebarang peruntukan untuk RDIC! Promosi dan kesedaran awam untuk pembangunan teknologi hijau pula merangkumi Teras Strategik Kelima Dasar Ekonomi Negara. Daripada manakah peruntukan untuk mempromosikan kesedaran masyarakat dalam penggunaan teknologi hijau jika tidak bajet yang diperuntukkan pada tahun 2012? Hal ini sungguh menghairankan.
Justeru, apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan dan menyelaraskan pertumbuhan teknologi hijau untuk ekonomi negara? Apakah pula langkah-langkah kerajaan dalam tahun 2012 untuk memastikan pembangunan mampan dan pemuliharaan alam sekitar untuk generasi masa hadapan negara ini?
Thanesh Kumar
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)