Telah hampir enam bulan semenjak Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikuatkuasakan pada April 2011. Semenjak itu, terdapat laporan media yang menyiarkan tentang tindakan penguatkuasaan telah dilakukan ke atas peniaga yang menaikkan harga dengan sesuka hati, khususnya peniaga yang menjual di bazar Ramadan pada bulan Ramadhan yang lalu.
Walaupun seolah-olah ada tindakan penguatkuasaan yang dilakukan, namun pengguna masih berasa was-was tentang keberkesanannya. Pada tahun 2011, ramai pengguna yang masih merungut tentang harga barang yang naik, terutamanya semasa musim perayaan. Begitu juga dengan harga ayam yang tidak menentu.
Pengguna masih mengeluh peniaga secara sewenang-wenangnya menaikkan harga barang walaupun telah wujud akta yang boleh mengekang tindakan peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan.
Adakah pada tahun 2012 masalah seperti ini akan terus berlaku? Pada tahun 2011 kerajaan telah melakukan semakan harga beberapa barang bersubsidi berdasarkan cadangan makmal rasionalisasi subsidi oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU). Pada tahun 2012, mungkin semakan barang bersubsidi akan diteruskan mengikut perancangan yang ditetapkan. Walaupun kadar kenaikan yang berlaku mungkin kecil, namun jika tidak dikawal, ia boleh menyebabkan kesan jaringan kepada barang lain yang tidak berkaitan. Keadaan inilah yang sering berlaku sebelum ini.
Justeru, kerajaan, terutamanya penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, hendaklah sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang cuba mengaut keuntungan secara berlebihan. Apatah lagi mulai 1 Januari 2012, Akta Persaingan dikuatkuasakan. Jika akta ini dijalankan sebagaimana yang sepatutnya, maka tidak ada alasan untuk berlakunya amalan monopoli atau pakatan dalam menentukan harga dan bekalan.
Kewujudan beberapa inisiatif kerajaan pada tahun 2011 di bawah program 1Malaysia, seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu 1Malaysia dan sebagainya, merupakan pilihan kepada pengguna untuk membeli barang keperluan pada harga yang lebih rendah. Namun ia tidak membolehkan kedai lain boleh menetapkan harga sesuka hati tanpa alasan yang kukuh. Penentuan harga barang atau perkhidmatan perlulah berdasarkan kepada kos operasi dan margin keuntungan. Jika berlaku kenaikan kos operasi, maka peniaga wajar menaikkan harga. Tetapi ia perlulah setimpal dengan kenaikan kos tersebut dan bukannya menaikkan dengan berganda-ganda. Umpamanya, sebelum ini apabila kerajaan menaikkan harga gula 20 sen, ada restoran yang menaikkan harga minumannya juga 20 sen. Keadaan ini tidak sewajarnya berlaku dan dibiarkan secara berleluasa.
Mohd Yusof Abdul Rahman