Gambaran Menyeluruh Tentang Bajet 2014
Secara keseluruhannya, beberapa isu utama yang berkaitan dengan kebajikan pengguna dinyatakan dalam Bajet 2014, antaranya:

•    Perumahan
•    Mengurangkan Jenayah
•    Sektor Kesihatan
•    Harga Makanan 

Kerajaan yang Telus
Pertamanya,  usaha Kerajaan untuk memberikan keyakinan kepada rakyat tentang pengurusan perbelanjaan kewangan yang bertanggungjawab,  iaitu amalan sistem perbelanjaan yang terbuka dan telus. Oleh itu, langkah kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang berasaskan hasil amat dialu-alukan.

Segala penyalahgunaan wang rakyat dan ketirisan hendaklah dihapuskan. Maka, langkah untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap penjawat awam yang menyalahgunakan wang rakyat atau bertanggungjawab terhadap ketirisan wang rakyat adalah disokong sepenuhnya. 

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
FOMCA menyokong sepenuhnya pelaksanaan GST pada  tahun 2015.  Isu-isu yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan untuk memastikan kebajikan pengguna, apabila GST dilaksanakan, adalah:

 

  1. Tindakan tegas terhadap peniaga  yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga untuk mengaut keuntungan yang berlebihan.  Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan hendaklah dilaksanakan dengan tegas.
  2. Panduan Pembeli (Shoppers Guide) hendaklah disediakan dan diedarkan secara meluas untuk memaklumkan kepada pengguna tentang kesan perubahan harga yang sebenarnya apabila barang atau perkhidmatan tersebut dikenakan GST, sama ada berkadar standard, sifar atau dikecualikan
  3. Perlu diwujudkan pusat aduan bagi membolehkan pengguna membuat aduan terhadap peniaga yang meletakkan harga barang atau perkhidmatan melebihi daripada paras harga yang sewajarnya.
  4. Pengurangan cukai pendapatan individu juga disokong.
  5. Terdapat kelemahan kerajaan dalam memberikan penerangan tentang GST secara yang tepat dan meluas kepada masyarakat umum. Kerajaan perlu mengadakan satu strategi komunikasi yang dapat memberikan penerangan kepada semua lapisan masyarakat. Seterusnya, maklum balas dan pandangan rakyat perlu diambil kira dalam pelaksanaan GST.

Sektor Pertanian
FOMCA menyokong sepenuhnya pertambahan pasar tani di seluruh Malaysia. Pasar tani merupakan strategi yang baik untuk memastikan petani mendapatkan harga yang berpatutan serta menikmati  harga barang yang lebih rendah.  Dengan menghapuskan peranan orang tengah, maka petani dan pengguna akan mendapat manfaat.

Sektor pertanian harus diperluas. Oleh itu, pemberian insentif dan subsidi untuk meluaskan sektor pertanian amat disokong. Seterusnya, penyelidikan dan pembangunan sektor pertanian amat perlu diberikan perhatian yang serius untuk meningkatkan produktiviti dan penghasilan  sektor pertanian untuk memastikan petani mendapat pendapatan yang berpatutan.  Apabila pendapatan dalam sektor pertanian ini  tinggi, ia akan menarik minat golongan muda dan belia untuk terlibat dalam sektor pertanian.
Kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan jaminan keselamatan makanan dan harga makanan yang mampu dibeli.

Kesihatan

Sistem penjagaan kesihatan negara semakin bertambah baik dan perlu dipertingkatkan. FOMCA tidak bersetuju sekiranya terdapat cadangan untuk mengubah  asas sektor penjagaan kesihatan yang wujud pada masa ini.

Penambahbaikan juga  perlu dilakukan untuk menambah jumlah kakitangan dalam hospital. Oleh itu, penambahan jumlah jururawat di hospital adalah disokong. Walau bagaimanapun, masih terdapat kekurangan doktor pakar di hospital. 

Maka pertambahan peruntukan perlu disediakan untuk  mengekalkan doktor pakar yang ada  di hospital kerajaan. Ini akan mengurangkan masa menunggu untuk berjumpa doktor pakar di hospital kerajaan. 

Perbezaan pendapatan antara hospital kerajaan dan hospital swasta juga harus dikurangkan untuk mengekalkan doktor-doktor di sektor awam.  Dalam masa yang sama, caj-caj rawatan di hospital swasta perlu dikawal selia oleh kerajaan. 

Perumahan
FOMCA menyokong sepenuhnya cadangan Bajet 2014 tentang perumahan, iaitu:
1.    Kenaikan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT)
2.    Melarang skim bercirikan Basics of Developer Interest Bearing Scheme (DIBS)
3.    Kenaikan harga minimum harta tanah yang boleh dibeli oleh warga asing kepada RM1 juta. 

Apa yang penting juga ialah jumlah rumah yang dibina harus ditambah. Dengan pertambahan jumlah rumah, maka harga rumah akan turun. Maka, pembinaan 223,000 unit rumah baru disokong. 

Selain itu, keutamaan perlu diberikan kepada pembeli rumah pertama untuk membeli rumah tersebut. 

Persaraan

FOMCA menyokong langkah kerajaan untuk meningkatkan sumbangan kerajaan kepada 10% dalam Skim Persaraan 1Malaysia. Ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai orang, khususnya golongan pekerja muda untuk menyertai Skim Persaraan Swasta.

Walau bagaimanapun, latihan pengurusan kewangan yang menyeluruh perlu dikendalikan untuk memupuk nilai dan tingkah laku kewangan yang positif.

Pengurangan Jenayah
Masyarakat pada masa ini, khususnya di kawasan bandar, berasa tidak selamat.  Oleh itu, peruntukan yang disediakan dalam Bajet 2014 ini dapat mewujudkan persekitaran yang selamat bagi masyarakat bandar. 

Penghapusan Subsidi Gula
FOMCA menyokong pemansuhan subsidi gula. Walau bagaimanapun, pemansuhan sepenuhnya, yang menyebabkan kenaikan harga gula sebanyak 34 sen. Ini merupakan suatu kenaikan yang agak mendadak. Oleh sebab gula digunakan sebagai bahan dalam pelbagai makanan dan minuman, maka dikhuatiri akan berlakunya kesan kenaikan kepada harga makanan dan minuman. Kesan rantaian ini  akan memudaratkan kebajikan pengguna, khususnya pengguna pendapatan rendah. Oleh itu, sewajarnya pelarasan subsidi gula perlu dilakukan secara berperingkat, bukannya dimansuhkan secara terus.  

Salah satu alasan yang diberikan oleh kerajaan bagi mewajarkan pemansuhan subsidi gula ini adalah jumlah pesakit diabetes yang tinggi. Kerajaan tidak wajar menggunakan alasan ini. Untuk memastikan rakyat mengurangkan pengambilan gula, maka kerajaan perlu  meningkatkan pendidikan kesihatan kepada rakyat supaya mengamalkan  gaya hidup yang sihat.

Air

  1. FOMCA amat mengalu-alukan langkah untuk mengatasi gangguan bekalan air. Selain menaik taraf empangan-empangan, sistem pengagihan bekalan air juga perlu diberi peruntukan yang mencukupi untuk  menaik taraf infrastruktur seperti penggantian paip air dan sistem pembetungan di seluruh negara.
  2. Selain itu, program penjimatan air di peringkat kebangsaan juga perlu dilaksanakan.
  3. Sistem penuaian air hujan juga harus dilaksanakan di seluruh negara selepas satu kajian menyeluruh dilakukan. Makluman tentang pembinaan loji tersebut juga perlu dikaji dan diumumkan melalui sesi konsultasi dengan orang awam sebelum ia dibina. Kajian Sumber Air Negara 2000 mesti dikaji semula.
  4. Kerajaan perlu merancang pembangunan projek perumahan agar selari dengan kapasiti air terawat yang sedia ada.
  5. fOMCA mengalu-alukan peruntukan untuk bekalan air di kawasan luar bandar. Namun, pembaikpulihan dan penyelenggaraan sistem-sistem bekalan air yang sedia ada juga harus diutamakan, selain daripada hanya memasang sistem yang baru sahaja. Selain itu, keberkesanan sistem yang baru ini juga perlu dikaji sebelum dilaksanakan di semua kawasan.
  6. FOMCA merasakan aktiviti pengauditan air dan penggunaan peralatan jimat air juga perlu diteruskan dan tidak tertumpu terhadap sektor tenaga sahaja. Selain itu, kajian sumber tenaga yang boleh diperbaharui hendaklah ditingkatkan dan dilaksanakan juga. Pemasangan solar panel bagi pengguna domestik juga perlu digalakkan dengan pemberian subsidi ataupun insentif.
  7. Satu dana khas juga perlu diwujudkan agar pelan tindakan kecemasan boleh dilaksanakan sekiranya berlaku gangguan bekalan air dalam tempoh yang  panjang atau ketika berlakunya krisis air.
  8. Pengurusan Hutan
  9. Program ladang hutan merupakan program yang baik untuk meningkatkan pendapatan petani, namun status semasa hutan perlu dikenal pasti agar program ladang tersebut tidak memusnahkan kawasan hutan yang sepatutnya dipeliharakan. Status kawasan hutan simpanan kekal tidak boleh dibangunkan sama sekali dan hendaklah diwartakan sebagai kawasan tadahan air kekal.

Pencegahan Bencana Alam

  1. Mengalu-alukan pembangunan projek tebatan banjir di Johor. Namun, projek ini juga dibuat di negeri-negeri lain, seperti Kedah dan Kelantan yang sering dilanda  banjir.
  2. Selain mendalamkan kuala-kuala sungai, kualiti air sungai dan pembangunan di  sekitar sumber air mentah juga perlu dipantau secara menyeluruh.
  3. Satu jawatankuasa perlu ditubuhkan untuk mengenal pasti punca utama berlakunya bencana di Sungai Bertam. Selain itu, aktiviti perladangan haram mesti dihentikan di semua kawasan tadahan air seperti Cameron Highland.

Teknologi Hijau dan Amalan Hijau
Penubuhan Yayasan Hijau Malaysia adalah tindakan yang sia-sia kerana telah terdapat agensi-agensi kerajaan lain yang melaksanakan tugas tersebut, seperti Malaysia Green Technology Corporation (MGTC) dan juga Jabatan Alam Sekitar. Oleh itu, agensi-agensi ini mesti diperkasa.

FOMCA  mengalu-alukan penubuhan Tabung Amanah Pemuliharaan Kebangsaan. Fungsi tabung ini harus diperhalus dengan lebih terperinci lagi. Badan bukan kerajaan yang berasaskan alam sekitar perlu diberi keutamaan untuk mendapatkan dana ini. Tabung Amanah ini patut mengurangkan aktiviti-aktiviti haram seperti pencerobohan hutan simpanan. Tabung amanah ini juga patut digunakan untuk tujuan penyelenggaraan dan pemuliharaan taman negara, hutan simpan ,dan kawasan tadahan air.  

Penyelidikan dan Pembangunan

Skop penyelidikan perlu merangkumi pengurusan hutan dan sumber alam secara mampan.

Penggunaan Tenaga dan Elektrik
Peruntukan untuk menggalakkan penjimatan tenaga seperti pemberian rebat apabila membeli peralatan elektrik yang cekap tenaga  perlu diteruskan.


Perkara yang tidak diberikan perhatian sewajarnya dalam Bajet 2014 
Terdapat dua perkara utama tidak diberikan penekanan yang sewajarnya dalam Bajet 2014, iaitu:
Pengangkutan Awam

  1. Masih tidak ada perancangan dan wawasan yang komprehensif tentang sistem pengangkutan awam di Malaysia. Pendekatan yang dilakukan pada masa  ini lebih bersifat adhoc dan tidak menggambarkan satu pendekatan yang menyeluruh.
  2. Pengguna Malaysia terus terpaksa menggunakan sistem pengangkutan awam yang tidak boleh diyakini (not reliable), hubungan antara destinasi yang lemah dan kurang selesa.

Penyediaan Jaringan Keselamatan yang Komprehensif
Sebelum subsidi dirasionalisasi atau cukai GST diperkenal, kerajaan perlu mewujudkan  satu jaringan keselamatan sosial (social safety net) yang mantap. Ini bagi memastikan golongan miskin dilindungi daripada kesan yang akan memudaratkan kebajikan mereka. Melalui jaringan keselamatan sosial ini, golongan miskin yang berkelayakan, akan diberikan bantuan untuk menampung keperluan mereka,  yang merangkumi aspek makanan, perumahan, pengangkutan dan kesihatan.