Saban hari penipu siber atau lebih dikenali sebagai scammer semakin pintar dalam menipu para pengguna yang naif. Para pengguna bagaikan dipukau oleh para scammer dengan begitu mudah. Scammer kini menggunakan kaedah yang lebih canggih seperti menggunakan peralatan elektronik yang lebih sofistikated  untuk mendapatkan maklumat peribadi  mangsa  dan seterusnya memperdayakan mereka tanpa disedari oleh mangsa.Kebelakangan ini, mangsa scam ini merangkumi pelbagai golongan masyarakat, bukan sekadar pesara tetapi juga profesional, penghibur dan sebagainya. Pasti  ada ramai lagi yang sudah diperdaya namun mereka tidak melaporkan kepada pihak berkuasa kerana bimbang akan keselamatan mereka atau malu untuk melaporkannya. Ada juga mangsa yang tidak mahu melaporkan kepada pihak polis kerana bimbang mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan oleh pihak berkuasa tertentu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Mohd Zakaria, para mangsa kehilangan sejumlah RM2 bilion setiap tahun kepada para scammer. Penipuan ini melibatkan pelbagai scam. Sebanyak 5123 kes telah dilaporkan kepada pihak polis. Salah satu punca utama penipuan ini adalah kebocoran  data peribadi. Kebocoran data peribadi ini mungkin disebabkan data tersebut dijual oleh pihak kedua atau ketiga. Namun ada juga data yang didedahkan oleh para mangsa itu sendiri.  Ramai orang yang mendedahkan data peribadi mereka dalam media sosial seperti Facebook atau Instagram. Misalnya, gambar peribadi, nombor kad pengenalan, gambar rumah, gambar percutian, nombor kereta, tarikh lahir dan sebagainya. Data-data ini boleh digunakan oleh para scammer untuk tujuan menipu.Di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), kami ada menerima banyak aduan. Ramai yang terjerat dengan Macau Scam, scam pekerjaan, scam cinta dan sebagainya. Kes kes sedemikian, pihak NCCC akan mengarahkan para pengadu supaya melaporkan kepada pihak polis.

Sepanjang tahun 2018, NCCC telah menerima sebanyak 20.6% daripada 10,615 yang melibatkan kes scam atas talian. Kebanyakan kes yang dilaporkan adalah berkaitan dengan laman web palsu. Para scammer menggunakan peralatan yang canggih untuk membentuk dan menghasilkan laman web yang begitu cantik yang mudah memperdaya para mangsa. Dengan grafik yang begitu cantik, para pengguna mendapati sukar untuk membezakan antara laman yang sebenar dan palsu. Dengan kaedah ini,  ramai yang  mudah terperdaya untuk membeli barangan dari laman tersebut.

Langkah yang perlu dibuat oleh para pengguna sebelum membeli barangan dari laman laman web seperti facebook  dan sebagainya adalah memeriksa dengan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Para pengguna perlu mengesahkan dengan SSM sama ada syarikat yang mereka ingin berurus niaga adalah syarikat yang sudah berdaftar dengan SSM.Langkah kedua adalah untuk mereka melayari laman web yang telah disediakan oleh JSJK. Melalui laman web tersebut, para pengguna boleh mengesahkan nombor akaun bank itu adalah milik syarikat tersebut dan memeriksa sekiranya ada sebarang laporan yang telah dibuat tentang pemilik akaun tersebut. Layari laman (http://ccid.rmp.gov.my/semakmule).

Para pengguna harus menggunakan kebijaksanaan mereka untuk memastikan mereka menyelidiki sebelum membuat keputusan untuk berurus niaga. Mereka juga perlu tahu bahawa urusan yang berkait dengan wang perlu dibuat dengan teliti. Jangan menjadi tamak semata mata ingin memiliki kekayaan seperti kata pepatah Melayu, ‘Yang dikejar tak dapat, Yang dikendong keciciran.Begitu juga sekiranya anda mendapat panggilan dari ‘pihak berkuasa’ yang menyatakan bahawa anda mempunyai saman atau denda yang perlu dibayar supaya anda tidak ditangkap dan di hadapkan ke mahkamah. Ramai yang terperdaya dengan panggilan scam ini. Langkah yang terbaik adalah untuk pergi terus ke pihak berkuasa tersebut untuk mendapatkan kepastian sekiranya benar atau tidak anda pernah melakukan kesalahan yang ‘disabitkan’. Untuk makluman para pengguna pihak berkuasa tidak akan menghubungi pesalah melalui talian telefon. Ada juga panggilan dari pihak bank yang menyatakan anda mempunyai hutang kad kredit atau pinjaman yang belum dibereskan. Anda perlu menjelaskan hutang tersebut  kalau tidak anda akan disenarai hitamkan dan diisytihar muflis. Langkah yang paling baik adalah untuk terus berurusan dengan pihak bank tersebut di mana-mana cawangan terdekat.

Untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa kepada scammer, adalah lebih baik kita sebagai pengguna melengkapkan diri dengan segala pengetahuan sejajar dengan peredaran masa. Dengan kemunculan alam siber yang semakin canggih, kita juga perlu lebih pintar. Sekiranya ada panggilan dari scammer, sebelum mengambil sebarang tindakan, adalah lebih baik kita  membuat usul periksa dan penyelidikan tentang panggilan tersebut. Jangan panic dan takut. Anda perlu bincang dengan ahli keluarga atau rakan taulan dan dapatkan pandangan mereka.Bersama-samalah kita membendung angkara para scammer ini dengan menjadi lebih pintar dari mereka.

Baskaran Sithamparam

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Kebangsaan (NCCC)