MEMANG difahami mengapa terdapat aduan sebahagian kecil pengguna elektrik di Melaka yang berasakan penggunaan meter pintar menyebabkan bil mereka lebih tinggi berbanding meter lama. Sesiapapun pasti tertanya-tanya jika kos meningkat tanpa sebab. Justeru, syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB) memang perlu sangat memberi perhatian terhadap aduan pengguna, tambahan pula mereka adalah pelopor penggunaan meter pintar di Malaysia.
Kepuasan hati pengguna yang terkesan mungkin menjejaskan rancangan untuk meluaskan pemasangannya ke negeri-negeri lain. Seperti produk-produk lain, reviu daripada kumpulan pelopor selalunya menjadi penanda aras kepada penerimaan pengguna yang lebih meluas. Dilaporkan ketika ini lebih 250,00 kediaman di Melaka sudah pun dipasang meter pintar. Daripada jumlah berkenaan, satu peratus kediaman membuat laporan kepada TNB. Mungkin kini, hampir semuanya sudah diambil tindakan, termasuk menerusi semakan penggunaan meter di lokasi. TNB turut memaklumkan bahawa pulangan wang akan diberikan jika bacaan meter menunjukkan lebihan bil yang tidak wajar berlaku.
Sejak dakwaan meter pintar dikatakan menyebabkan bil elektrik lebih tinggi secara tidak munasabah tular di Facebook bulan lalu, TNB tidak duduk diam dan mengambil cakna dakwaan berkenaan termasuk melayani aduan selain mengadakan pertemuan dan memberi penerangan kepada Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan ahli EXCO negeri serta Suruhanjaya Tenaga. Isu ini turut diulas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang menyifatkannya sebagai kes individu, berdasarkan peratusan jumlah aduan yang diterima.
TNB turut mengumumkan penubuhan pasukan khas untuk menangani aduan mengenai meter pintar. Pasukan khas itu akan memperinci dan memberi penjelasan secara bersemuka kepada pengguna bagi menyelesaikan aduan yang diterima. “Pengguna meter pintar yang mempunyai aduan dinasihatkan tidak khuatir kerana TNB bersedia memberi maklumat dan langkah penyelesaian, termasuk mengkreditkan lebihan bayaran dalam bil mereka jika lebihan caj berlaku,” kata TNB dalam kenyataan berhubung penubuhan pasukan khas itu.
Setakat ini, TNB bertegas bahawa semakannya mendapati meter yang dipasang adalah tepat namun didapati sebahagian kecil aduan berpunca daripada kesilapan manusia semasa pemasangan meter. Mengikut syarikat itu, bagi aduan bil meningkat, ia disebabkan pengguna memerlukan penerangan dan maklumat terperinci mengenai bil yang tertera di aplikasi myTNB, selain faktor meter terdahulu yang tidak lagi efisien dan tidak dapat merekodkan bacaan yang tepat. Siasatan TNB juga mendapati terdapat ‘usikan’ pada meter lama.
Pendek kata, pengguna di Melaka mendapat radas baharu. Maka sifat barang baharu ialah ia lebih cekap dan berkesan. Mungkin sebab itulah meter pintar membaca dengan lebih tepat berbanding meter jenis lama yang mana semakin berusia alat, semakin perlahan gegalas meter berpusing. Tapi ketika meter analog bergerak perlahan dan tidak memberikan bacaan tepat, mujur TNB tidak menyalahkan pengguna. Selain itu, ada segelintir pengguna yang membuat usikan pada meter lama sekali gus tidak memberikan bacaan betul. Bila meter pintar digunakan, tentu mereka akan mendapati bacaan penggunaan lebih tinggi. Begitupun, TNB mengakui ada juga kesilapan manusia ketika memasang meter pintar sehingga menyebabkan sebilangan kecil pengguna dikenakan caj lebih.
Bercakap mengenai usikan pada meter, saya sendiri ada pengalaman. Ketika melawat rumah selepas ambil kunci tujuh tahun lalu, kami dihampiri beberapa individu mendakwa sebagai wakil ‘syarikat penjimat tenaga’. Mereka mendakwa boleh melaras meter supaya bil pada kadar yang ‘sesejuk’ pemilik rumah suka. Tawaran mereka memang menarik, tapi saya menolaknya kerana ia tetap dikira mencuri. Tambahan pula sejak kecil kami diajar kalau biasakan mencuri apa-apa, itulah yang akan datang dalam kubur kita nanti. Kalau curi air, nanti kubur penuh air. Kalau curi elektrik, nanti kubur akan terbakar. Akan tetapi, bagi sesetengah pihak pula, tawaran sebegitu umpama peluang keemasan. Sebab itulah kita hampir tak pernah dengar pendingin hawa ditutup di rumah mereka.
Selaku pengguna di alaf serba pintar ini, penggunaan meter pintar wajar kita terima. Selain beralih kepada sistem yang lebih hijau dan mesra guna, meter pintar juga mengajar pelanggan menjadi pengguna bertanggungjawab. Jika kita guna, maka kita bayarlah. Selalulah rujuk aplikasi myTNB untuk memantau penggunaan. Secara keseluruhannya, 340,000 pelanggan kediaman di Melaka akan dipasang dengan meter pintar. Penggunaan meter pintar adalah sebahagian daripada inisiatif yang diperkenalkan TNB selaras dengan pelan strategik yang sedang dilaksanakannya hingga 2025 bagi meningkatkan kepuasan pelanggan. Meter pintar sudah lama digunakan di beberapa negara maju kerana ia membuka jalan ke arah penyelesaian lebih pintar, hijau dan penggunaan tenaga yang lebih cekap. Ia menawarkan kelebihan daripada segi ketepatan maklumat pengebilan serta membolehkan pengguna mendapat maklumat bagi tujuan pengurusan perbelanjaan tenaga isi rumah.
Penggunaan meter pintar bukan asing di peringkat global apabila Jepun menerusi syarikat utiliti Tokyo Electric Power Company (TEPCO) umpamanya sudah memasangnya di 17 juta kediaman dan akan ditingkatkan kepada 29 juta meter pintar dalam tempoh dua tahun hingga tahun ini. Negara lain yang turut menggunakan meter pintar termasuk Sweden, Itali, Arab Saudi dan Filipina. Melihatkan penerimaan meluas sistem meter pintar yang mempunyai kesan meluas membantu pengguna menjimatkan penggunaan tenaga, meter pintar menjadi sebahagian daripada pelaburan besar TNB untuk projek ‘Grid Masa Hadapan’. Menerusi projek ini, dijangka hampir sembilan juta pengguna di Semenanjung Malaysia akan dibekalkan dengan set meter pintar secara berperingkat.
Selain tular dakwaan meter pintar menyebabkan bil tinggi, radas ini juga sebelum ini turut berhadapan tuduhan lain pengguna terdedah kepada radiasi. Dikatakan kononnya, Frekuensi Radio (RF) yang terdapat pada meter pintar boleh mendatangkan masalah kesihatan dan mencetuskan pendedahan melampau kepada medan elektromagnet (electromagnetic hypersensitivity). Bagaimanapun kajian pihak berkuasa mendapati RF terhasil dari meter pintar adalah minimum dan secara relatifnya di paras rendah terutama apabila dibandingkan dengan gajet lain yang kita gunakan seharian seperti telefon pintar, Wi-Fi dan ketuhar gelombang mikro.
Selepas beberapa siri dakwaan untuk mempertikai kewibawaannya tidak menjadi, tiada isu dengan meter pintar ini. Bilangan satu peratus yang mengadu dan cara TNB mengatasinya turut menjadi kayu ukur terhadap tahap kebolehpercayaannya. Selain itu, khidmat sokongan termasuk pasukan khas yang ditubuhkan syarikat utiliti seharusnya dimanfaatkan pengguna yang berasa ada yang tidak kena dengan penggunaan dan bil mereka. Justeru dengan mengambil kira tahap penggunaan di Melaka dan Putrajaya sebagai kawasan perintis, meter pintar akan menjadi normal baharu dalam sektor bekalan elektrik pada masa depan.