JOHOR BAHRU - Pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan bertindak sekiranya mendapat aduan berhubung kewujudan 'bilik sangkar burung' atau bilik sewa sempit di daerah itu.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata, berdasarkan akta pihak berkuasa tempatan (PBT), bilik sempit itu tidak dibenarkan kerana melanggar syarat-syarat ubah suai yang sepatutnya.
"Saya percaya 'bilik sangkar burung' itu wujud di bandaraya ini, khususnya membabitkan pekerja asing cuma kami masih belum mendapat aduan daripada orang awam.
"Justeru, kita harap masyarakat dapat menyalurkan aduan bagi memudahkan tindakan selanjutnya dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan wujud 'bilik sangkar burung' di sekitar Johor Bahru.
Mohd Noorazam berkata, pihak MBJB juga tidak akan meluluskan mana-mana pelan bangunan yang dilihat meragukan.
"Baru-baru ini kita ada dapat pelan yang mempunyai banyak pintu, ada sekatan-sekatan dan banyak ruang rehat. Jadi kita tolak pelan tersebut kerana ia agak meragukan," katanya.
Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, 'rumah sangkar burung' itu juga melibatkan isu keselamatan terutamanya dari segi tuntutan insurans.
"Bilik ini kecil tapi ia melibatkan isu keselamatan kerana jika berlaku kebakaran, akan ada masalah dari segi insurans," katanya.
Pada 10 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai kewujudan 'bilik sangkar burung' di Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Sebuah premis di Kuala Lumpur dilaporkan menempatkan sebanyak 38 bilik sewa berkonsepkan kapsul dengan sewa RM300 sebulan sementara di Shah Alam, sebuah pangsapuri diubah suai menggunakan papan lapis bagi membina tujuh hingga lapan bilik sewa dengan kadar sewa RM400, sebulan.