KUALA LUMPUR - Selepas sembilan hari pendedahan Sinar Harian berhubung bilik sewa sangkar burung, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pasukan polis telah membuat satu pemeriksaan mengejut berkaitan aduan awam terhadap premis tersebut, pada khamis.
Serbuan yang diketuai oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad itu dilakukan pada jam 1 tengahari untuk meneliti sendiri bangunan kedai yang telah menyalahi undang-undang kerana mengubah suai premis dengan menempatkan 38 bilik sewa kapsul di ibu kota.
Operasi khas ke atas premis menghapus bahaya kebakaran (MBK) itu dimulakan dengan sesi taklimat di Balai Bomba dan Penyelamat Pudu sekitar jam 12 tengahari sebelum konvoi menteri bersama bomba dan beberapa pengamal media tiba di lokasi kejadian, satu jam kemudian.
Pemeriksaan premis itu dimulakan di tingkat dua yang mana ia menempatkan sebuah bilik kotor dan sempit sehingga menimbulkan keadaan berbahaya kepada penyewa.
Sejurus masuk ke bilik tersebut, menteri terpaksa berengsot ke dinding dan menahan bau busuk yang menusuk hidung sesiapa sahaja di kawasan itu.
"Ini bukan bilik sewa tetapi sebuah sangkar yang hanya layak diduduki oleh binatang. Ini bukan soal keselamatan sahaja, ini adalah soal berperikemanusiaan yang wajib dipandang serius.
“Oleh itu, tindakan segera akan diambil untuk memastikan Kerajaan Madani tidak berkompromi dengan isu ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Penolong Pesuruhjaya Bomba JBPM, Muhammad Salleh Abdul berkata, premis seperti itu tidak patut diubah suai sehingga merisikokan keselamatan penyewa jika berlaku kecemasan.
“Saya amat sedih melihat suasana bilik sangkar burung ini kerana ia langsung tidak selamat untuk didiami dan tidak mempunyai kemudahan keselamatan asas yang sepatutnya.
“Peluang untuk melepaskan diri sekiranya terperangkap di dalam kediaman ini amat tipis.
“Saya tidak menyangka bahawa adanya keadaan seperti ini di negara kita. Tuan rumah sepatutnya lebih mengutamakan keselamatan penyewa,” katanya.
Serbuan yang tamat kira-kira jam 2 petang itu diakhiri dengan tindakan susulan bomba mengeluarkan notis menghapuskan bahaya kebakaran di bawah Seksyen 8 Akta 341 agar risiko kebakaran dapat dipelihara.
Bagaimanapun semasa operasi dijalankan, tiada penghuni ditemui dan dipercayai mereka keluar bekerja.
Tinjauan dan penyamaran wartawan Sinar Harian dalam edisi laporan khas Bilik Sewa Sangkar Burung pada 10 Oktober lalu mendedahkan kewujudan bilik sewa kapsul di Lembah Klang yang sangat sempit tetapi dikenakan sewa bermula RM300 sebulan.
Premis rumah kedai diubah suai untuk menempatkan 38 bilik kapsul yang terlalu sempit dan rendah sehingga penghuni tidak boleh berdiri langsung. Mereka hanya boleh tidur dan duduk berlunjur.
Di Shah Alam pula, bilik yang terlalu sempit memaksa penghuni menunaikan solat di atas katil.
Ia menjadi pilihan kerana kos sara hidup yang tinggi di Lembah Klang ditambah pendapatan bulanan yang tidak seberapa, menyebabkan golongan seperti penghantar makanan dan pelajar institusi pengajian tinggi swasta terus menyewa di situ.