KUALA LUMPUR – Kenaikan kadar duti setem bagi surat cara pindah milik harta yang dikenakan kepada hartanah bernilai melebihi RM1 juta sehingga RM2.5 juta daripada tiga peratus kepada empat peratus seperti yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2019 akan ditangguhkan sehingga 30 Jun tahun depan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penangguhan tersebut adalah bagi menggalakkan pertumbuhan aktiviti sektor hartanah negara.
Pembelian rumah kediaman pertama yang bernilai sehingga RM1 juta juga diberikan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dalam tempoh berkenaan.
Dengan itu, bermula 1 Januari depan, pembeli hartanah bernilai RM100,000 yang pertama dikenakan duti setem sebanyak satu peratus disusuli pembelian hartanah bernilai RM100,001-RM500,000 (dua peratus) dan RM500,001-RM1 juta (tiga peratus).
“Kerajaan Pakatan Harapan amat prihatin dan berlaku adil dalam memperuntukkan tempoh masa yang mencukupi supaya proses pindah milik dapat dilakukan dalam tempoh peralihan sebelum kadar baru duti setem dikuatkuasakan khususnya bagi harta yang bernilai melebihi RM1 juta sehingga RM2.5 juta.
“Seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2019, Kerajaan Pakatan Harapan telah bersetuju memberikan insentif pengecualian duti setem 100 peratus bagi pembelian rumah pertama.
“Pengecualian duti setem di atas adalah bertujuan untuk terus menggalakkan pembelian rumah pertama oleh rakyat Malaysia, meningkatkan pembelian unit rumah yang tidak terjual daripada pemaju, serta merancakkan pasaran harta tanah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Guan Eng, langkah itu juga merupakan salah satu usaha bagi mengatasi isu lebihan bekalan hartanah kediaman yang semakin meningkat. – MalaysiaGazette