KUALA LUMPUR 14 Jan. - Indeks Pasaran PropertyGuru mendapati harga rumah terus menunjukkan trend penurunan sebanyak 2.3 peratus tahun ke tahun.
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, aliran tersebut dijangka berterusan sekurang-kurangnya untuk tempoh separuh pertama tahun ini walaupun terdapat peningkatan sentimen pengguna dan dasar-dasar kerajaan yang proaktif seperti yang diumumkan dalam Bajet 2019.
Katanya, indeks tersebut yang menganalisis lebih 250,000 hartanah yang tersenarai di
PropertyGuru juga mendapati 1.3 juta rakyat Malaysia mencari hartanah di portal berkenaan dan terdapat peningkatan minat terhadap hartanah di lokasi-lokasi ‘panas’ di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.
“Walaupun terdapat penurunan dalam permintaan harga, permintaan hartanah di Kuala Lumpur masih kukuh dengan kawasan yang paling popular dan menjadi tumpuan adalah Bangsar, Mont Kiara dan Cheras,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, jenis hartanah yang paling dicari di ketiga-tiga kawasan tersebut adalah kondominium, diikuti dengan pangsapuri dan rumah bandar.
Fernandez berkata, ketiga-tiga jenis hartanah berkenaan menjadi yang paling digemari di Kuala Lumpur mungkin disebabkan oleh harga kemasukannya yang lebih berpatutan berbanding hartanah bertanah.
“Dari segi harga, ramai yang mencari di bawah harga RM300,000 sebuah, namun ia sukar untuk didapati kerana banyak hartanah di lokasi ini bernilai lebih daripada julat harga berkenaan,” katanya.
Selain itu katanya, permintaan untuk hartanah di Selangor terus tinggi meskipun harga menurun, dengan hartanah di Petaling Jaya, Shah Alam, dan Subang Jaya menduduki tempat teratas dalam senarai berkenaan.
Hartanah yang paling dicari di kawasan tersebut adalah kondominium, diikuti dengan pangsapuri dan rumah teres dua tingkat, dengan banyak pembeli berpotensi berminat kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD).
“Terdapat peningkatan yang kuat dalam permintaan untuk hartanah yang terletak secara strategik atau secara langsung dihubungkan dengan laluan MRT dan LRT.
“Faktor lain seperti penyelenggaraan harta benda dan kemudahan gaya hidup akan memainkan peranan bagi pembeli untuk menentukan sama ada ia sesuai, memandangkan pembeli mempunyai terlalu banyak pilihan dalam pasaran yang tepu dengan bekalan,” tambah Fernandez.
Sementara itu beliau berkata, kawasan perumahan yang paling popular di Pulau Pinang adalah Georgetown, Bayan Lepas dan Tanjung Tokong manakala di Johor pula lokasi yang paling popular adalah Johor Bahru, Nusajaya, dan Bukit Indah.
“Tidak seperti negeri-negeri lain di mana pembeli hartanah paling berminat dengan kediaman bertingkat, di Johor permintaan yang tinggi adalah untuk hartanah bertanah terutamanya rumah teres dua tingkat,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/harga-rumah-turun-2-3-peratus-1.822492#ixzz5cf1iLeYO
© Utusan Melayu (M) Bhd