KUALA LUMPUR: Pemberian diskaun tol sempena musim perayaan utama bukan penyebab berlakunya kesesakan dan kemalangan di lebuh raya.Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata sikap pemandu yang cuai dan tidak berhemah terus menjadi penyumbang statistik saban tahun."Pemberian diskaun adalah cara syarikat konsesi menghargai pelanggan lebuh raya mereka dan bukan penyebab kesesakan di musim perayaan."Paling utama, setiap syarikat konsesi mengeluarkan jadual cadangan perjalanan sebagai rujukan pengguna untuk mereka merancang perjalanan pada musim perayaan," katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya sempena Tahun Baharu Cina 2019 di sini, pada Selasa.

Hadir sama Ketua Pengarah Lebuhraya Malaysia Datuk Seri Aziz Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) Sazally Saidi.Baru berkata, sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 5 Feb nanti sebanyak 25 lebuh raya akan menawarkan insentif berbentuk diskaun kadar tol sebanyak 10 hingga 30 peratus kepada pengguna.Jelasnya, diskaun khusus untuk pengguna tol bagi kenderaan Kelas 1 itu akan berkuat kuasa selama 24 jam bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam Selasa, 5 Feb."Sebanyak 14 lebuh raya seperti Leburaya Utara-Selatan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan 2, Lebuhraya SMART, KESAS, LATAR dan Jambatan Pulau Pinang akan menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus," katanya.

Diskaun 15 peratus pula ditawarkan kepada pengguna lebuh raya AKLEH, LKSA, SILK, GUTHRIE, Lebuhraya KL - Putrajaya dan Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru.Diskaun 30 peratus pula ditawarkan oleh tiga lebuh raya iaitu Lebuhraya Grand Saga, Lebuhraya DUKE dan Lebuhraya LDP.Sementara itu, Lebuhraya Baru Pantai dan Lebuhraya Sungai Besi menawarkan diskaun 20 peratus.Dalam pada itu, Baru berharap statistik kemalangan dan kematian pada musim perayaan akan terus menurun pada tahun ini."Penurunan jumlah kematian yang dicatat melalui Op Selamat ke-12 pada tahun lalu diharap menjadi titik tolak yang positif atas usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak dan berharap trend penurunan ini akan terus dikekalkan," katanya.

-- BERNAMA