Ar-Rahnu adalah sistem pajak gadai Islam yang membolehkan pengguna mencagar barang kemas mereka. Objektif sistem Ar-Rahnu adalah menyediakan alternatif kepada masyarakat umum yang berpendapatan rendah dalam memenuhi keperluan wang tunai secara segera atau modal untuk perniagaan dan menghapuskan unsur ‘riba’ yang dijalankan oleh kedai pajak gadai konvensional.
Sistem pajak gadai ini juga terbuka kepada semua agama. Pajak gadai Islam ini menawarkan pinjaman tanpa faedah tetapi mengenakan upah simpanan berdasarkan nilai emas. Jika dibandingkan dengan pajak gadai konvensional mengenakan kadar faedah yang tinggi iaitu 2% sebulan atau 24% setahun yang menjadikan faedah sebagai sumber hasil.
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Malaysia (NCCC) menerima pelbagai jenis aduan mengenai penyelewangan dibuat oleh pajak gadai konvensional. Antara contoh aduan tersebut ialah barang kemas yang digadai biasanya tidak ditimbang atau diukur, barang kemas yang digadai itu lebih ringan atau pendek sedikit apabila ditebus. Oleh kerana berat dan panjang barang itu tidak dicatat dalam resit, maka peminjam sukar membuktikan penyelewengan. Jika peminjam gagal menebus dalam tempoh yang ditetapkan, peniaga pajak gadai berhak melelong barang yang digadai sekiranya nilai barang kemas kurang RM200.
Bagi nilai barang kemas yang lebih RM200, peniaga pajak gadai melantik pelelong berlesen untuk melakukan lelong. Terdapat juga kes peniaga pajak gadai dan pelelong berlesen berpakat yang membolehkan peniaga itu membeli semula barang lelongan tersebut pada harga terendah. Biasanya peniaga pajak gadai tidak memulangkan wang lebihan selepas lelong dan ditolak jumlah hutang. Jika berlaku rompakan atau kebakaran ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan barang gadaian hilang atau rosak, peniaga pajak gadai hanya perlu membayar jumlah cagaran yang ditambah 25% lagi kepada peminjam sebagai pampasan.
Sebaliknya di sistem Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu) tempoh maksimum gadaian yang diberikan adalah selama 6 bulan. Jika penggadai gagal menebus dalam tempoh tersebut, pihak Pajak Gadai Islam boleh memberi tempoh kelonggaran penebusan untuk 2 bulan lagi tanpa permohonan daripada peminjam. Di peringkat ini, pemimjam tidak semestinya membayar upah simpan.
Jika penggadai masih tidak menebus dalam tempoh kelonggaran, tempoh gadaian boleh dilanjutkan untuk tempoh maksimum 2 bulan lagi dengan syarat penggadai membuat permohonan melanjutkan tempoh dan menjelaskan upah simpan pada tempoh gadaian yang asal dan tempoh kelonggaran selama 8 bulan.
Sekiranya tiada permohonan untuk lanjutan tempoh atau upah simpan tidak dibayar, pajak gadai Islam boleh meneruskan tindakan lelong selepas tempoh maksimum 10 bulan. Barang gadaian akan dilelong mengikut harga pasaran semasa. Hasil lelongan akan ditolak pinjaman yang tidak berbayar, upah simpan dan kos-kos lain yang terbabit. Bakinya akan dipulangkan kepada penggadai. Ia juga mempunyai insurans perlindungan kebakaran, perlindungan kecurian dan sebagainya.
Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)