Akta Persaingan 2010 telah diluluskan oleh Parlimen pada bulan Mei 2010 dan diwartakan pada Jun 2010. Penggubalan Akta ini bertujuan untuk menggalakkan pembangunan ekonomi dengan meningkatkan dan melindungi proses persaingan di pasaran.

Akta ini di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2012. Akta ini boleh dipakai kepada semua aktiviti komersial di dalam dan di luar negara yang mempunyai kesan kepada persaingan di pasaran Malaysia.

Akta ini tidak terpakai bagi apa-apa kegiatan komersial yang dikawal selia di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Tenaga.

Menurut Rancangan Malaysia yang ke-10, persaingan yang sihat diperlukan untuk mewujudkan suasana ekonomi yang lebih cekap dan dinamik. Akta Persaingan 2010 ini menggalakkan persekitaran kompetitif yang sihat dan memberikan pelabur asing lebih keyakinan untuk melabur di Malaysia. Peniaga yang melabur ke dalam negara Malaysia tanpa halangan ini akan membolehkan negara menikmati pertumbuhan ekonomi.

Pengguna juga mendapat barangan dengan harga yang lebih rendah dengan pilihan yang banyak. Persekitaran kompetitif ini menggalakkan pembangunan produk yang baru dengan kualiti yang tinggi. Tanpa persaingan yang sihat, peniaga tidak akan menitikberatkan kebajikan pengguna.

Secara keseluruhanya Akta Persaingan 2010 akan membawa kebaikan kepada keseluruhan ekonomi Malaysia.

 

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional