Pengguna merupakan kumpulan terpenting dalam menentukan status ekonomi sesebuah Negara.  Pengguna juga merujuk kepada individu  yang menggunakan barangan, perkhidmatan dan sumber semula jadi untuk kepuasan hidup secara umum. Dalam konteks pada hari ini, pengguna perlu mengetahui hak dan peranan sebagai seorang pengguna untuk melindungi diri sendiri dari dimanipulasikan oleh pasaran yang semakin global dan terbuka luas ini. 

Hak pengguna pertama kali disuarakan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat mendiang J.F.Kennedy apabila beliau mengisytiharkan “ Deklarasi Hak Penguna” yang dibentangkan pada Kongres pada 15 Mac 1951. Sejak peristiwa tersebut, pergerakan pengguna di peringkat antarabangsa  telah mengumumkan bahawa Sambutan “Hari Hak-hak Pengguna Sedunia” disambut pada 15 Mac setiap tahun.

Pergerakan pengguna global telah menggariskan 8 hak universal untuk pengguna iaitu:

a) Keperluan Asas : Hak untuk mendapat keperluan dan perkhidmatan asas yang menjamin kehidupan seperti makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan, pendidikan untuk semua rakyat dan sistem kawalan kebersihan awam termasuk bekalan air bersih, sistem pembuangan najis dan pembuangan sampah yang mencukupi.

b) Keselamatan : Hak untuk dilindungi daripada barangan yang dipasarkan atau bekalan perkhidmatan yang membahayakan kesihatan dan kehidupan. Contohnya peralatan elektrik yang memerlukan ciri keselamatan label SIRIM, label MS atau Malaysian Standard, Suruhanjaya Tenaga, label Malaysian Conformity (MC) bagi produk permainan kanak-kanak dan sebagainya.

c) Maklumat : Pengguna berhak diberikan maklumat yang tepat dan mencukupi agar memudahkan mereka membuat keputusan yang bijak dalam pembelian barangan. Pengguna perlu dilindungi daripada pengiklanan yang mengelirukan, pelabelan yang tidak jujur dan amalan lain seperti pemalsuan maklumat,  penipuan dan penyelewengan. Contohnya label nutrisi makanan, label peralatan kosmetik, label halal, tarikh luput, tanda harga pada rak atau produk selari dengan mesin pengimbas harga dan sebagainya.

d) Pilihan :
 Pengguna berhak membuat pilihan barangan dan perkhidmatan berdasarkan harga yang berpatutan dengan jaminan serta kualiti yang memuaskan. Pengguna berhak membandingkan harga barangan atau perkhidmatan yang akan dilanggani seperti menentukan permohonan kad kredit atau pinjaman sewa beli berdasarkan kadar faedah tahunan.

e) Bersuara : Hak untuk memastikan kepentingan pengguna diberi pertimbangan sewajarnya dalam penggubalan dasar Kerajaan. Pengguna juga melalui persatuan penduduk atau NGO setempat berhak menyuarakan pendapat sekiranya wujud penindasan atau ketidak adilan yang berlaku kepada pihak berkaitan. Aduan pengguna juga boleh disalurkan kepada Pusat Aduan Pengguna Nasional atau NCCC di talian 03-7877 9000 atau layari laman sesawang www.nccc.org.my 

f) Ganti rugi : Pengguna berhak mendapat ganti rugi terhadap barangan yang cacat,berbahaya atau perihal dagangan yang mengelirukan serta pampasan yang sewajarnya bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian. Ganti rugi juga perlu diberikan terhadap barangan atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada pengguna apabila menggunakan barangan berdasarkan panduan yang diberikan kepada pengguna atau akibat daripada kecuaian pengeluar. Pengguna boleh membuat tuntutan ganti rugi kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Tribunal Tuntutan Perumahan (TTPR), Biro Pengantaraan Perbankan dan Mahkamah Tuntutan Kecil.

g) Pendidikan pengguna : Pendidikan kepenggunaan diberikan secara tidak formal di sekolah-sekolah. Sistem pendidikan sedia ada lebih cenderung untuk melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan, tetapi tidak menitik beratkan kepada pengetahuan untuk menjadi pengguna yang bijak dan berhemah. Oleh itu, pengguna hendaklah peka dan mengambil inisiatif bersikap ambil tahu tentang isu-isu kepenggunaan yang berlaku di peringkat nasional mahupun antarabangsa melalui media massa dan elektronik. 

h) Alam sekitar yang sihat dan selamat : Hak untuk hidup dan bekerja dalam persekitaran yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini perlu diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan wujudnya elemen alam semula jadi yang semakin pupus atau musnah akibat proses pembangunan. 

Dengan adanya fahaman dan pengetahuan yang jelas tentang hak-hak pengguna, masyakarat pengguna amnya diharapkan dapat mempertingkatkan perlindungan kendiri serta bertindak sebagai pengguna proaktif dalam kehidupan seharian. Kesejahteraan dan kestabilan ekonomi keluarga bergantung kepada gaya hidup bersederhana dan mengutamakan perkara yang perlu, merancang matlamat kewangan dari peringkat awal dan melakukan sedikit perubahan dalam kehidupan. 

Siti Rahayu Zakaria
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)