Didik dengan konsep “bayar diri anda terlebih dahulu”
Konsep ini boleh dimulakan seawal umur 5 tahun atau 6 tahun dan boleh dilaksanakan oleh semua peringkat umur. Ibu bapa boleh mula memberikan wang saku mengikut kematangan kanak-kanak tersebut. Gunakan sistem 3 balang tabung dan labelkan balang-balang tabung tersebut kepada 3 bahagian iaitu a) Simpan b) Belanja c) Kongsi (adik beradik/derma). Dengan amalan sistem ini, anda bukan hanya mendidik anak-anak dan diri sendiri menyimpan untuk masa hadapan malahan mendidik agar menjadi pengguna yang berhemat.


Mendidik dengan konsep “ menyimpan untuk persaraan”
Walaupun anak-anak tidak memahami kepentingan simpanan untuk persaraan. Sebagai ibu bapa dan remaja boleh memulakan simpanan persaraan untuk anak-anak mereka dan diri sendiri. Sebagai contoh, sekiranya anak anda memasukkan duit ke dalam balang berlabel “Simpan”, anda boleh memberikan bonus tambahan kepada anak anda sebagai isentif simpanan tersebut. Anda boleh mengwujudkan beberapa idea lain yang konsepnya hampir sama dengan simpanan untuk persaraan untuk menggalakkan minat anak-anak untuk terus menabung.

Didik dengan konsep “hidup mengikut kemampuan”

Ibu bapa perlu sentiasa mengamalkan pengurusan kewangan berhemat agar menjadi contoh tauladan kepada anak-anak.  Kongsikan bersama anak-anak tentang keputusan pembelian barangan. Sentiasa utamakan keperluan berbanding kehendak, bijak membuat pilihan perbelanjaan dan mengamalkan konsep “bayar diri anda dahulu”

Simpan untuk pembelian utama.

Setkan matlamat. Apakah impian anda dan anak-anak anda? Sekiranya anak anda ingin membeli sesuatu barangan yang mahal. Minta anak anda lukis gambar barangan dan letakkan harga/kos yang diperlukan untuk membeli barangan tersebut. Kemudian tampalkan gambar tersebut pada balang yang berlabel “Simpan”.  Anda juga boleh gunakan langkah untuk mengira berapa banyakkah simpanan daripada baki wang saku atau belanja harian yang boleh anda jimatkan.  Menetapkan matlamat simpanan sangat penting untuk mencapai matlamat anda pada masa akan datang.

Menyumbangkan wang kepada badan amal.
Dalam keghairahan anda menyimpan, jangan lupa membantu golongan yang kurang bernasib baik.  Mereka tidak diminta untuk dilahirkan tidak sempurna atau dalam keluarga miskin. Maka adalah menjadi tanggungjawab anda untuk membantu golongan ini. Sebagai contoh, anda boleh dermakan wang dari balang yang berlabel “Kongsi” untuk derma Tabung Selamatkan Gaza.

Diharap kelima-lima tip asas ini dapat menyakinkan ibu bapa mendidik anak-anak dan para remaja menjadi individu yang bijak menguruskan kewangan. Simpanan sekarang untuk masa hadapan.