GIZ, sebuah syarikat kerjasama antarabangsa yang membantu kerajaan Germany dalam mencapai matlamat mereka dalam bidang kerjasama antarabangsa untuk pembangunan lestari, telah menganjurkan satu bengkel perolehan hijau ataupun Green Public Procurement dan Eko-label di Thailand pada Mei 1-2, 2013.

Perolehan hijau merupakan satu agenda baru di peringkat kebangsaan bagi kebanyakan negara. Manakala eko-label sudahpun lama dilaksanakan di kebanyakan negara. Apa yang saya ingin menyerlahkan daripada bengkel itu adalah mengenai kos kitaran hayat ataupun Life Cycle Costing (LCC).

 

Kos kitaran hayat biasanya dijadikan satu isu yang dikatakan amat berkait rapat dengan perolehan hijau disebabkan kekeliruan ataupun salah faham yang timbul di kalangan pengguna bahawa produk hijau adalah lebih mahal. Kos kitaran hayat ini merupakan satu proses yang mengenal pasti dan mendokumentasikan keseluruhan jumlah kos awalan serta kos jangka panjang dalam tempoh hayat produk ataupun servis itu. 

Berdasarkan kepada perolehan hijau kit latihan Suruhanjaya Eropah (European Commission), dikatakan bahawa untuk membuat satu produk lebih kos efektif, kaedah pendekatan LCC perlu diterapkan dalam keputusan perolehan. Ini bermaksud dengan menggunakan pendekatan ini, perbandingan dilakukan bukan sahaja untuk kos awalan pembelian produk, tetapi kos jangka masa panjang juga akan diambil kira seperti kos penggunaan (penggunaan tenaga / air, barangan pengguna seperti dakwat / kertas), kos penyelenggaraan dan juga pelupusan. 

Selain itu, apa yang saya ingin menyerlahkan daripada perbincangan itu juga adalah kenyataan yang dicadangkan agar pendekatan kos kitaran hayat (LCC) digunakan untuk tujuan pemantauan dan bukannya untuk perbandingan produk. Namun, cadangan ini tidak disetujui oleh peserta bengkel yang lain kerana dikatakan pendekatan ini sebenarnya boleh digunakan untuk kedua-dua tujuan. Dengan mengehadkan fungsi LCC ini, dikatakan bahawa ia akan gagal dI peringkat jualan, iaitu komunikasi dengan pengguna kerana andaian yang berbeza-beza terhadap pengiraan kos. Dengan itu, LCC ini dikatakan amatlah penting untuk digunakan bagi perbandingan produk terutamanya di bahagian perolehan hijau kemudian. 

Ia adalah biasa dimana ramai daripada pakar perolehan hijau ataupun eko-label mempunyai persepsi yang berbeza-beza terhadap pendekatan kos kitaran hayat (LCC) ini. Walaubagaimanapun, marilah kita lihat pula pada industri ataupun sektor swasta yang akan menerapkan pendekatan ini dalam sistem mereka. Kurangnya minat dengan sektor hijau ini merupakan satu cabaran yang dikatakan timbul di kalangan industri ataupun sektor swasta. Sekiranya, pemahaman tentang LCC ini masih rendah, sudah pasti, tiada minat dalam mengaplikasikan pendekatan ini dalam sistem masing-masing. 

Pendekatan LCC perlu diberikan pendidikan yang betul serta kesedaran di kalangan pihak-pihak berkenaan dan bukannya hanya terhad kepada industri, memandangkan sektor awam memainkan peranan penting dalam proses itu. Ini dapat dilihat apabila cuba menangani tanggapan pengguna yang produk hijau adalah lebih mahal berbanding produk biasa. Dengan itu pemahaman LCC ini adalah penting untuk menunjukkan bahawa kos awalan yang lebih tinggi bagi produk hijau akan diimbangi oleh kos penggunaan dan kos pelupusan yang lebih rendah, ataupun juga dikenali sebagai penjimatan jangka masa panjang dan pulangan ke atas pelaburan (return on investment). 

Misalnya, lampu pendarfluor padat ataupun compact fluorescent lamps (CFL) yang merupakan cekap tenaga mungkin pada kos RM15 yang sudah pasti lebih daripada kos mentol pijar biasa, tetapi CFL lebih tahan lama dan hanya menggunakan satu per empat daripada jumlah tenaga elektrik yang digunakan oleh mentol pijar biasa. Bayangkan betapa besarnya kesan apabila maklumat ini disampaikan kepada pengguna mengenai penjimatan dalam bil elektrik mereka dengan hanya menggunakan CFL. 

Onn May Ling