KUALA LUMPUR - Masuk minggu ketiga Ramadan, bahang kemeriahan menyambut aidilfitri kian terasa .
Di sana sini, peniaga tidak kira yang membuka gerai atau di kedai, gedung membeli-belah mahupun yang berniaga dalam talian giat melakukan pelbagai promosi untuk melariskan jualan.
Cuma ramai yang mengeluh kerana terlebih berbelanja pada bulan Ramadan ini.
Walaupun banyak kedengaran rungutan tentang kenaikan harga barang pada musim perayaan namun sikap berbelanja masyarakat tetap tidak berubah.
Inilah realiti yang berlaku saban tahun.
TIDAK TERKESAN DENGAN KOS HIDUP YANG MENINGKAT
Kegagalan mengawal nafsu berbelanja hingga berlebih-lebihan terutama pada musim perayaan termasuk hari raya seolah-olah menunjukkan pengguna tidak terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Di mana-mana sahaja, bazar Ramadan masih menjadi tumpuan. Begitu juga pasar raya dan pusat membeli belah, tidak putus-putus didatangi pembeli. Itu belum lagi mereka yang membeli-belah dalam talian.
Tabiat berbelanja berlebih-lebihan itu menyebabkan kenaikan perbelanjaan antara satu hingga tiga kali ganda berbanding bulan biasa. Perkiraannya mudah, jika pada bulan biasa perbelanjaan sekitar RM600 tetapi pada musim perayaan ia boleh meningkat kepada RM1,800.
Menurut pakar kewangan pengguna, Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri, kenaikan itu boleh meningkat sehingga empat kali ganda memandangkan mata wang Malaysia yang semakin lemah serta kos sara hidup yang tinggi.
Pengguna bagaimanapun bagaikan tidak ambil pusing dengan kenaikan harga barang serta kos sara hidup ketika berbelanja pada musim perayaan.
Beliau yang mengkaji "Corak Perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri Rakyat Malaysia" pada tahun lepas mendapati lebih 55 peratus pengguna berbelanja lebih satu kali ganda berbanding perbelanjaan bulan biasa manakala 22 peratus melebihi dua kali ganda dan 5 peratus melebihi tiga kali ganda daripada perbelanjaan bulan biasa.
Kajian melibatkan 700 responden yang dilakukan secara dalam talian itu mendapati majoriti pengguna iaitu 79 peratus menyediakan belanjawan khusus untuk Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun dapatan menunjukkan 82 peratus daripada mereka yang menyediakan bajet raya itu berbelanja lebih berbanding perbelanjaan mereka pada bulan biasa.
"Ini menunjukkan majoriti pengguna tidak berdisiplin dalam mengikut bajet yang telah disediakan sehingga membawa kepada peningkatan dalam perbelajaan.
"Ia akan menjadi masalah apabila pengguna terpaksa menggunakan pendapatan gaji mereka untuk memenuhi keperluan perbelanjaan pada musim perayaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
PERBELANJAAN HARI RAYA
Hasil kajian itu juga mendapati 53.6 peratus kaum wanita lebih mementingkan penyediaan bajet hari raya berbanding 46.7 bagi kaum lelaki.
Kebanyakan pengguna membelanjakan antara RM100 hingga RM300 seorang untuk membeli pakaian sendiri, pasangan, anak-anak, kuih raya, juadah pagi raya, servis kenderaan dan pengangkutan serta duit raya.
Selain itu majoriti pengguna berbelanja untuk keperluan hari raya antara 1 dan 2 minggu sebelum hari tersebut dengan lokasi pilihan untuk membeli barangan keperluan adalah di pusat membeli belah.
Beliau yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Sumber & Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia menjelaskan sepatutnya pengguna tidak berhadapan masalah kekurangan bajet atau terlebih berbelanja.
Ini memandangkan hari raya disambut setiap tahun yang membolehkan mereka membuat perancangan dan persiapan awal termasuk dari segi simpanan khas untuk musim perayaan.
"Raya bukan tahun ini sahaja, tiap-tiap tahun kita beraya. Sepatutnya sudah tahu berapa jumlah perbelanjaan hari raya. Contohnya, tahun lepas perbelanjaan keseluruhan semasa hari raya RM4,000 makanya sudah kena simpan setiap bulan untuk mencukupkan jumlah perbelanjaan itu bukannya dengan mengharapkan duit gaji yang ada," katanya.
Apa yang berlaku adalah sebaliknya dan apabila perbelanjaan tidak mencukupi, ada yang sanggup pula berhutang daripada Ahlong di samping menggunakan kad kredit.
Syarikat pemberi pinjaman, lesen atau tidak berlesen pula akan mengambil kesempatan mengedarkan iklan skim pinjaman mudah mereka kerana tahu terdapat keperluan dan permintaan dalam kalangan pengguna, katanya.
ELAK BELI SAAT AKHIR
Selalu kita dengar alasan sesetengah pengguna "tak pelah, setahun sekali saja.. apa salahnya berbelanja lebih" seolah-olah mahu menjustifikasikan tabiat berbelanja berlebih-lebihan mereka.
Namun sekiranya mereka ada membuat perancangan dan simpanan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan itu ia bukan satu masalah untuk berbelanja lebih, jelas Mohamad Fazli.
Dalam keadaan peningkatan kos hidup hari ini, pengguna perlu lebih proaktif antaranya dengan membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barang atau keperluan.
Budaya membeli keperluan pada saat-saat akhir bagi mendapatkan barangan pada harga murah juga kadangkala boleh memerangkap diri sendiri.
Apabila pengguna boleh mendapat sesuatu barang pada harga yang agak murah, mereka berpotensi membeli lebih daripada satu sedangkan ia bukan satu keperluan.
"Akhirnya membazirkan duit di situ sedangkan duit itu boleh digunakan untuk keperluan lain. Ada baiknya pengguna membuat persiapan lebih awal agar dapat merancang sebaik-baiknya," katanya.
TIPS BERBELANJA MUSIM PERAYAAN
Beberapa panduan boleh diamalkan bagi mengelakkan risiko terlebih belanja atau perbelanjaan tidak mencukupi ketika hari raya antaranya:
Sediakan bajet khusus untuk persiapan Hari Raya dengan menetapkan berapa amaun misalnya RM1,000-2,000.
Babitkan pasangan (suami-isteri) dalam penyediaan bajet raya dan kongsikan bersama ahli keluarga.
Senaraikan barangan dan keperluan raya yang ingin dibeli dan pastikan berbelanja mengikut apa yang telah dibincang dan diputuskan.
Buat persiapan awal dan elak berbelanja saat akhir bagi mengelak membeli benda yang tidak perlu.
Pembelian dilakukan secara tunai bagi mengelak terlebih berbelanja.
Jangan ambil hutang baharu semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsu dan emosi raya.
Kurangkan kekerapan ke pusat membeli-belah dan sebaik-baiknya rancang pembelian.
Buat perbandingan harga barangan dan perkhidmatan yang ingin dibeli. Boleh merujuk kepada rakan dan media sosial untuk mendapatkan maklumat tambahan sebelum keputusan pembelian dilakukan.
Berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan iklan tawaran harga murah/ istimewa.
Pertimbangkan pembelian secara dalam talian dengan menetapkan bajet tertentu. - BERNAMA
Sumber :- http://www.sinarharian.com.my/nasional/jangan-ikut-emosi-ketika-berbelanja-1.689067