April 5, 2021 @ 10:47am
KUALA LUMPUR: Peningkatan hutang isi rumah ke paras 93.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka boleh diuruskan memandangkan sebahagian besar peningkatan itu berikutan penyusutan pertumbuhan ekonomi negara tahun lalu.
Tambahan lagi, tegas penganalisis, ujian tekanan yang dijalankan Bank Negara Malaysia (BNM) turut mendapati institusi perbankan berada dalam kedudukan baik dan kukuh serta mampu mendepani krisis kewangan.
Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui'zz Morhalim, berkata hutang isi rumah meningkat pada kadar lebih pantas iaitu 5.5 peratus dalam separuh kedua 2020 disokong kadar faedah lebih rendah berikutan keputusan BNM untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas tahun lalu bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Namun, beliau berkata, risiko daripada paras hutang isi rumah yang tinggi itu dijangka mampu diurus dan masih terkawal.
Beliau berkata, kemungkinan kegagalan pembayaran pinjaman apabila moratorium bayaran balik pinjaman berakhir dijangka agak rendah dan terhad kerana 95 peratus daripada 1.5 juta pemohon mendapat kelulusan bagi menstruktur semula pinjaman mereka.
"Sekiranya perlu, institusi perbankan juga mampu untuk meneruskan pemberian bantuan secara bersasar kerana bank juga memperoleh lebih banyak maklumat bagi mengenalpasti pelanggan yang masih memerlukan bantuan tambahan.
"Kelulusan bagi pinjaman yang diputuskan oleh pihak bank telah mengambil kira latar belakang, sumber pendapatan dan bebanan kewangan sedia ada peminjam bagi menilai kemampuan mereka untuk membayar balik serta menguruskan hutang," katanya kepada BH.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff bagaimanapun menegaskan peningkatan hutang isi rumah perlu diberi perhatian kerana ramai individu yang mengambil peluang atas kadar faedah pinjaman bank yang rendah untuk membeli hartanah kediaman serta kenderaan tanpa memikirkan sama ada mereka mampu untuk menambah hutang atau tidak.
Beliau berkata, ia berikutan kadar faedah yang rendah tidak akan kekal selamanya dan jika seseorang terjejas pendapatannya semasa pandemik, ia akan menyebabkan mereka sukar menampung komitmen hutang berkenaan, sekali gus meningkatkan risiko hutang tidak berbayar (NPL), malah lebih teruk daripada itu adalah risiko muflis.
"Kadar hutang isi rumah berbanding KDNK di Malaysia kini adalah tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di Asia.
"Oleh itu, ia boleh menjadi lebih teruk jika tidak dikawal sekarang.
"Kempen berbelanja mengikut keperluan dan mengamalkan hidup tanpa berhutang harus dilakukan kerana tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat kita masih rendah," katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata berdasarkan angka nisbah paras hutang isi rumah daripada KDNK itu sememangnya tidak boleh dipandang ringan.
Namun, katanya, ia masih boleh diurus melalui institusi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan nasihat dan kaunseling berkenaan pengurusan kewangan dan adalah perlu diterapkan kesedaran terhadap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat dengan lebih tuntas lagi.
"Pihak bank memang sentiasa berwaspada apabila meluluskan kontrak pembiayaan pelanggan. Mereka mengambil kira kedudukan hutang pelanggan seperti nisbah pembayaran hutan atau DSR, rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan CTOS serta membuat semakan majikan bagi memastikan sumber pendapatan pelanggan adalah sah seperti dalam borang permohonan.
"Justeru, risiko bagi pembiayaan tidak berbayar seharusnya dapat dikawal dari peringkat awal lagi. Oleh itu, kenaikan hutang isi rumah perlu juga dilihat dari sudut pengurusan risiko bank yang sentiasa dipantau oleh BNM serta keupayaan seseorang pelanggan bank untuk melunaskan hutangnya," katanya.
Mohd Afzanizam berkata, dengan adanya bantuan kewangan bersasar seharusnya dapat mengurangkan risiko kemungkinan kegagalan membayar balik pinjaman.