April 2, 2021 11:17 MYT
KUALA LUMPUR: Pendapatan yang tidak mencukupi disebabkan terpaksa menanggung liabiliti dan hutang mempengaruhi trend perbelanjaan golongan muda sehingga mendorong mereka menggunakan kad kredit.
Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Farizan Kamaluddin berkata, golongan muda ketika ini dilihat mengumpul liabiliti dahulu sebelum dapat mengumpul aset.
“Mereka tamat pengajian dengan hutang yang dibawa (pinjaman pendidikan) ke alam pekerjaan dan menyebabkan pendapatan diterima tidak mencukupi.
“Situasi ini menyebabkan mereka terpaksa mencari jalan lain bagi mendapatkan sumber pendapatan sehingga terpaksa mendapatkan bantuan keluarga serta menggunakan kad kredit,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual khas Agenda AWANI - 'Celik Kewangan: Untuk Hari Ini dan Esok' yang disiarkan melalui Saluran 501, Astro AWANI pada Rabu.
Jelas Farizan, keadaan tersebut sekali gus menyumbang kepada dapatan dikeluarkan Bank Negara Malaysia, yang menunjukkan 47 peratus belia mempunyai hutang kad kredit yang tinggi.
Selain itu, perasaan ‘fear of missing out’ (FOMO) turut dilihat menjadi faktor sebahagian rakyat Malaysia terutama golongan muda sukar menguruskan kewangan atau perbelanjaan mereka.
Golongan muda mudah terikut-ikut dan sering membandingkan kehidupan dengan orang lain, ia sekali gus mendorong mereka untuk berbelanja lebih daripada pendapatan yang diterima.
Katanya lebih membimbangkan, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2020 mendedahkan sebanyak 63 peratus rakyat Malaysia yang bekerja antara satu hingga tiga tahun akan kehabisan simpanan dalam tempoh kurang sebulan.
“Jadi apa yang kita perhatikan, apabila berada dalam tempoh penularan pandemik COVID-19 ini, memang rakyat Malaysia khususnya golongan muda menghadapi masalah kewangan yang benar-benar terdesak.
“Realitinya mereka tidak ada dana kecemasan. Persediaan situasi di luar jangkaan memang tidak ada langsung dan pandemik ini sememangnya memberi impak besar terhadap kelangsungan kehidupan harian mereka,” ujarnya.
Berdasarkan panduan pakar pengurusan kewangan peribadi, setiap individu mahupun keluarga perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan diperoleh setiap bulan sebagai simpanan.
Malah, mereka juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan jumlah pendapatan yang diterima sebagai simpanan bagi dana kecemasan.
Manakala, panduan Belanjawanku yang dikeluarkan KWSP, menunjukkan purata perbelanjaan individu bujang (pengguna kenderaan awam) di Lembah Klang memerlukan sekurang-kurangnya RM1,900 setiap bulan.
Bagi individu bujang (pemilik kereta) pula, mereka memerlukan RM2,570 setiap bulan bagi menyara kehidupan di Lembah Klang.
Panduan Belanjawanku diterbitkan bagi menunjukkan perbelanjaan minimum bulanan setiap kategori barangan dan perkhidmatan bagi pelbagai isi rumah di Malaysia.
Menurut Farizan, statistik KWSP tahun lalu yang mendedahkan 54 peratus pencarum berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang RM50,000, perlu dipandang serius.
“Meskipun kadar caruman KWSP adalah antara kelima tertinggi di dunia iaitu 11 atau 13 peratus, namun struktur gaji yang rendah menyebabkan simpanan individu itu tidak mencukupi.
“Bagaimanapun kerajaan telah memperkenalkan gaji minimum RM1,100 atau RM1,200 ketika ini dan ia telah membawa kepada perubahan besar terhadap simpanan persaraan individu,” katanya.
Justeru, individu yang bekerja dalam sektor tidak formal disaran untuk menyimpan atau mencarum dalam KWSP sebagai persediaan persaraan. Mereka akan menerima padanan caruman kerajaan sebanyak 15 peratus daripada nilai caruman dimasukkan, tertakluk kepada maksimum RM250 setahun.
Adalah amat penting kesedaran simpanan hari tua ini ditanam awal dalam diri individu bagi memperoleh manfaat dividen ditawarkan KWSP.
KWSP dalam pada itu menyediakan Khidmat Nasihat Persaraan bagi membantu orang ramai untuk celik kewangan dan memahami pilihan persaraan mampan yang mampu meningkatkan simpanan persaraan mereka.
Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan Khidmat Nasihat Persaraan, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my
Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/beban-liabiliti-antara-punca-golongan-muda-sukar-menyimpan-291304