November 20, 2020 10:24 am
Teks disediakan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar yang disiarkan dalam akhbar SelangorKini edisi 19 hingga 25 November 2020

“Dalam apa-apa bentuk sistem ekonomi sekalipun, pemerintah memainkan peranan yang penting dalam pendidikan dan latihan. Dan jika pemerintah ingin membebaskan rakyatnya daripada belenggu kemiskinan, ia perlu memulakannya dengan pelaburan meningkatkan mutu manusia; pelaburan dalam kesihatan – kerana manusia yang sering sakit mempunyai produktiviti yang rendah; pelaburan dalam pendidikan dan keterampilan”.

– Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Gelombang Kebangkitan Asia, 1997

Keutamaan pendidikan ternyata tidak ada tolok bandingnya. Kemiskinan, yang sering dianggap musuh nombor wahid negara-negara di dunia, memang memerlukan pendidikan sebagai salah satu wadah utama dalam memeranginya.

Tidak mengejutkan apabila kemiskinan dikira sebagai salah satu pintu kepada kekufuran di dalam agama Islam. Dan kepentingan pendidikan jelas terjelma dalam kisah penciptaan Nabi Adam A.S sendiri yang mana, perkara pertama yang Allah S.W.T lakukan adalah mendidik baginda tentang ‘nama-nama’— suatu proses asuhan terawal buat manusia seluruhnya. Saranan untuk terus belajar dan belajar diperkukuh kemudiannya dengan proklamasi “Iqra’” atau “Bacalah!” yang menjadi ayat pertama yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Seperti yang dikutip dalam petikan di atas, peranan kerajaan amnya dan Kerajaan Negeri khasnya semakin membengkak semenjak meletusnya pandemik yang kini sudah hampir setahun menghantui kehidupan kita. Berlatar belakang kenaikan meroket kes-kes jangkitan yang semakin menjadi-jadi, banyak sekolah dan taska terpaksa ditutup apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Banyak keriuhan yang timbul akibat penutupan sekolah serta universiti secara mengejut, dan ibubapa terpaksa berhadapan dengan keadaan yang memerlukan mereka kerja dari rumah sementara turut sama mendampingi anak-anak yang terpaksa belajar menggunakan komputer riba di bawah satu bumbung.

Cetus pendigitalan

Selangor mengorak langkah awal dengan mendakap lebih awal pendigitalan semenjak gagasan Smart Selangor dicetuskan lama sebelum pandemik. Ternyata saranan ini menepati masanya, lebih-lebih dalam bidang pendidikan dengan e-pembelajaran menjadi norma baharu yang tidak terelakkan. Namun, tidak dinafikan inisiatif sebegini tidak datang tanpa sebarang cabaran.

Tidak cukup dengan itu, bekalan makanan turut disediakan agar anak-anak Selangor tidak dibiarkan berperut kosong. Dari Borneo, malah sejauh pelajar-pelajar Ruwaq Jawi di Mesir telah dibantu dengan seboleh-bolehnya.

Untuk mendepani pandemik yang belum lagi nampak surutnya, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif untuk turut memberikan kad sim kepada mahasiswa kita bawah inisiatif Data Internet Selangor supaya kekangan infrasktruktur lama bawah WiFi Smart Selangor dapat dilengkapi. Tidak cukup dengan itu, bantuan Bayaran Yuran Asas (Bayu) turut diperkenal dalam Belanjawan Selangor 2021 agar dapat diringankan beban kewangan para pemuka generasi masa hadapan ini.

Langkah-langkah ini semua tidak lain bertujuan memberi kelegaan segera atas perkara yang mendesak.

Namun, Kerajaan Negeri tidak pernah berhenti menyokong sebarang usaha pemerkasaan pendidikan dengan turut menyediakan persiapan jangka panjang buat anak-anak Selangor.

Keusahawanan

Justeru, Belanjawan Selangor 2021 turut menggariskan program seperti Rakan Digital Selangor dalam menyokong usaha pendidikan sepanjang hayat (lifelong learning). Dengan menjadikan warga Selangor sama ada golongan pelajar mahupun golongan emas untuk celik digital, banyak usaha-usaha lain sama ada dalam membanteras kemiskinan mahupun penyakit mental akan dapat disokong dengan cara digital.

Berbekal pengetahuan digital yang dibiasakan bakal mempersiap kemampuan setiap warga untuk berfungsi dalam pasaran pengetahuan (k-economy) dan terbuka untuk inovasi yang lebih terkehadapan dalam menghadapi norma baharu seperti menjadi masyarakat nirtunai (cashless society) ataupun yang lebih maju seperti pengenalan digital (digital ID).

Satu lagi aspek pendidikan yang disokong kuat oleh Kerajaan Negeri adalah pendidikan keusahawanan.

Sepertimana yang pernah dikutip oleh makalah ditulis Haris Harun dalam Manifesto Sekolah Harapan terbitan 2017 Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), negara Eropah seperti United Kingdom, Norway dan Estonia telah menggiatkan secara serius pendidikan keusahawanan semenjak 2004 lagi dengan program nasional seperti Youth Entrepreneurship Strategy (Yes) dengan tema-tema seperti Lihat Peluang dan Pasti Dijayakan (See the Opportunities and Make Them Work!).

Malah, Lithuania menggariskan tiga strategi khusus pendidikan, yang turut meliputi penggalakan keusahawanan serta pendidikan celik kewangan (financial literacy).

Minggu hadapan kita akan bersama-sama menelusuri apakah lagi tawaran Selangor dalam aspek pendidikan, terutama pendidikan keusahawanan dalam usaha membina kecekalan rakyat mendepani zaman Covid-19 yang semakin mencabar.

Sumber: https://selangorkini.my/2020/11/pendidikan-digital-tangani-cabaran-wabak/