Isnin, 9 November 2020 @ 7:01 AM
INDUSTRI perbankan bersetuju memberikan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar tambahan untuk peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Semua penambahbaikan ini adalah tambahan kepada bantuan yang diumumkan sebelum ini untuk mereka yang kehilangan pekerjaan serta untuk individu dan PKS yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, peminjam juga boleh terus menghubungi bank mereka untuk bantuan bayaran balik yang sesuai mengikut keadaan kewangan khusus mereka kerana semua bank terus bersedia memberikan bantuan kepada peminjam yang memerlukan.
"Bantuan bayaran balik pinjaman tambahan akan diberikan kepada peminjam dalam kategori yang individu golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan perusahaan mikro.
"Peminjam dalam kedua-dua kategori ini boleh memohon sama ada untuk menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan atau mengurangkan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan," katanya.
Bantuan ini akan disediakan untuk kemudahan yang diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 yang tidak tertunggak lebih daripada 90 hari pada masa peminjam memohon bantuan bayaran balik.
Bagi memohon bantuan ini, peminjam yang layak hanya perlu mengesahkan pilihan bayaran balik dengan bank mereka.
Bank tidak memerlukan dokumen tambahan daripada peminjam untuk memberikan bantuan bayaran balik ini.
Bagaimanapun, bagi pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap, peminjam perlu menandatangani perjanjian baharu menurut Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan syariah.
Semua bantuan bayaran balik tambahan ini akan disediakan untuk peminjam yang layak antara 23 November 2020 hingga 30 Jun 2021.
Peminjam boleh menyatakan bantuan bayaran balik itu mulai 23 November 2020 melalui talian khidmat pelanggan bank, perbankan dalam talian atau dengan melawat cawangan bank.
Industri perbankan akan memberikan butiran terkini mengenai penambahbaikan ini minggu hadapan.
Penambahbaikan bantuan ini disediakan untuk ansuran mulai bulan Disember 2020 dan akan berkuat kuasa pada ansuran seterusnya selepas permohonan dan pengesahan peminjam diterima.
BNM juga bekerjasama dengan industri perbankan untuk menambah baik pelaksanaan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar itu.
Peminjam yang menghadapi masalah dengan bank masing-masing boleh mengemukakan aduan kepada Bnmtelelink di bnm.my/RAsurvey.
Peminjam boleh melayari www.bnm.gov.my/tra untuk maklumat lanjut mengenai bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2020/11/639675/bantuan-tambahan-pinjaman-bersasar