SABAN tahun, isu pembaziran makanan pada bulan Ramadan adalah antara perkara yang menjadi topik hangat yang dibincangkan.Mana tidaknya, difahamkan kira-kira 23,000 tan makanan dibazirkan setiap hari pada bulan puasa. Barangkali, jumlahnya lebih tinggi daripada apa yang dianggarkan itu.Malah, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendedahkan sebanyak 270,000 tan metrik dibazirkan pada bulan Ramadan setiap tahun.Sukar untuk memastikan mengapa setiap kali Ramadan tiba, pembaziran makanan berlaku secara mendadak sedangkan pada bulan ini, majoriti umat Islam berpuasa.Jika difikirkan secara logik, perbelanjaan untuk membeli makanan sepatutnya berkurangan atau lebih terkawal kerana orang Islam berpuasa.Namun, hakikatnya fenomena ini berlaku disebabkan beberapa faktor. Antaranya kecenderungan orang ramai membeli juadah berbuka di bazar Ramadan yang berlebihan, menyimpan makanan secara tidak sempurna selain kebiasaan berbuka puasa di restoran menawarkan bufet Ramadan.
Kawal pembaziran makanan
Pembaziran makanan sepanjang Ramadan ini sewajarnya dikawal memandangkan kos pengurusan sisa pepejal meningkat pada setiap tahun.Melalui Belanjawan 2019, sebanyak RM115 juta diperuntukkan kerajaan bagi pengurusan sisa pepejal yang merangkumi pengurusan sisa makanan berbanding hanya RM95 juta pada 2018.Dari sudut alam sekitar, pembuangan yang kemudiannya diikuti dengan pereputan sisa makanan menyumbang kepada penghasilan kesan gas rumah hijau (GHG) yang menyumbang kepada pemanasan global.Ini bermakna, pembaziran makanan terutama pada Ramadan bakal meningkatkan kos kerajaan menguruskan sisa pepejal, di samping menjejaskan kualiti alam sekitar.Dari sudut agama pula, nilai ibadah berpuasa yang tinggi itu semestinya dicemari dengan amalan membazir makanan, sehingga ada pihak beranggapan bulan puasa adalah bulan pembaziran.Namun, masih belum terlambat untuk umat Islam mengubah fenomena pembaziran makanan ini, memandangkan hari ini baru masuk hari kesembilan berpuasa.Banyak tip yang boleh dilakukan untuk mereka yang berpuasa mengurangkan pembaziran makanan, terutama ketika membeli juadah berbuka puasa atau berbuka di restoran atau hotel.
Antara tip yang boleh dicuba seperti memasak sendiri makanan berdasarkan jumlah isi rumah, menetapkan jumlah ringgit akan dibelanjakan di bazar Ramadan dan menyenaraikan makanan yang ingin dibeli.Selain itu, mengambil makanan ketika berbuka secara bufet di restoran dan hotel juga perlu berpada-pada, tidak mengikut nafsu ketika mengambil makanan bagi mengelak pembaziran.
Simpan lebihan makanan
Menyimpan makanan yang berlebihan secara sempurna juga wajar menjadi amalan kepada kita bagi mengelakkan pembaziran makanan.Akhirnya, jika diteliti secara mendalam, sikap pengguna masih menjadi faktor penting untuk mengurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.Berhemat ketika membeli juadah berbuka puasa dan tidak melampau ketika mengambil makanan secara bufet, harus menjadi amalan kepada pengguna bagi membendung pembaziran makanan.
Penulis adalah wartawan Meja Am BH