SUDAH menjadi lumrah manusia untuk memiliki sesuatu barangan atau mendapatkan perkhidmatan semudah dan secepat yang mungkin.Begitu juga dari sudut perbelanjaan di mana ramai di antara kita tidak mampu untuk melengahkan atau menangguh sesuatu perbelanjaan disebabkan dorongan nafsu dan emosi.

Melengahkan atau menangguh perbelanjaan biasanya dikaitkan dengan konsep delayed gratification dalam bahasa Melayu ia merujuk kepada kemampuan dan keupayaan seseorang individu untuk menahan diri daripada godaan ganjaran semasa (immediate reward) dengan harapan untuk menerima ganjaran yang lebih baik pada masa hadapan (later reward).

Terdapat empat kelebihan sekiranya anda mampu bersabar untuk melengahkan perbelanjaan yang bakal dilakukan,antaranya:

1.Dapat mengelak daripada berhutang
Anda disarankan untuk menjauhi tabiat berhutang. Tabiat ini dapat dihindari sekiranya anda mampu mengawal nafsu dalam berbelanja.Ini dapat direalisasikan kerana anda mempunyai masa yang mencukupi untuk menyimpan wang bagi mendapatkan barangan atau perkhidmatan ang diidamkan. Memiliki barangan tersebut secara tunai berbanding kredit (hutang) adalah jauh lebih murah,jimat dan bijak terutama bagi pembelian untuk item yang besar.

2.Dapat maklumat yang secukupnya
Pembelian yang dibuat secara tergesa-gesa boleh menyebabkan anda mudah terpedaya dengan taktik penjualan dan pengiklanan yang akhirnya boleh menyebabkan anda tertipu dan mengalami kerugian. Melewatkan masa pembelian atau berbelanja juga sebenarnya memberikan anda masa yang secukupnya untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai sesuatu barangan atau perkhidmatan. Pepatah ada menyatakan biarkan lambat asalkan selamat.

3.Dapat hasilkan keputusan terbaik
Setelah semua maklumat mengenai produk diperolehi, anda disarankan untuk memperuntukkan sedikit masa untuk membuat perbandingan bagi setiap item dari segi kualiti, kuantiti, harga, kelebihan, kekurangan dan lokasi kedai/pusat membeli belah itu.Agak sukar untuk memperolehi produk yang dapat memenuhi semua kriteria yang disenaraikan (one size fits all.) Buatlah keputusan berdasarkan kepada semaksimumnya kriteria yang dapat memenuhi produk idaman anda.

4.Dapat nikmati potongan harga atau diskaun
Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat, fesyen serta pengaruh media massa menyebabkan ramai pengguna berlumba-lumba untuk memilki produk dan barangan terkini di pasaran. Malah, ada yang sanggup berhabisan wang ringgit semata-mata untuk menunjukkan bahawa mereka merupakan golongan yang up-to-date. Sekiranya anda sabar dengan melewatkan sedikit pembelian misalnya antara tiga atau empat bulan, kemungkinan besar anda mampu untuk menikmati potongan harga ke atas produk tersebut. Alasannya adalah kerana keluaran tersebut sudah outdated.

 

Oleh: PROF.MADYA DR MOHAMAD FAZLI SABRI
Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia dan
Ahli Majlis Kebangsaan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia