Majlis Pengguna Hong Kong mendesak pengeluar bateri supaya tidak menggunakan merkuri dan Kadmium dalam bateri untuk kegunaan tunggal.
Bateri digunakan secara luas dalam peralatan elektrik dan elektronik. Selain daripada hayat bateri, pengguna perlu memberikan perhatian pada masalah kebocoran pada bateri dan kandungan logam berat dalam bateri.
Majlis Pengguna Hong Kong telah menjalankan kajian terhadap 40 jenis jenama bateri kegunaan tunggal saiz AA dan AAA, iaitu 22 model alkali dan 18 jenis model karbon-zink. Ciri-ciri yang diuji termasuk hayat bateri, kebocoran elektolit dan analisis logam berat.
Menurut tahap yang ditetapkan oleh Direktif Kesatuan European (European Union, EU Directive) pada perlindungan persekitaran, semua model alkali lulus dalam ujian analisis logam berat.
Dalam beberapa model karbon-zink, kandungan logam berat seperti merkuri dan kadmium didapati melebihi tahap EU.
- Merkuri yang ditemui adalah 7 kali ganda daripada tahap yang ditetapkan,
- Kadmium adalah setinggi 6 kali daripada tahap yang ditetapkan.
Direktif EU menetapkan bahawa bateri yang mengandungi lebih daripada 0.00005% merkuri dalam berat dan 0.002% kadmium dalam berat adalah dilarang untuk dipasarkan di Kesatuan Eropah.
Berdasarkan Direktif EU, bateri perlu dilabelkan dengan symbol kimia “Pb” di bawah tanda , jika mereka mengandungi lebih daripada 0.004% plumbum dalam kandungannya. Didapati bahawa semua model karbon-zink yang diuji mengandungi plumbum yang melebihi had yang dibenarkan bagi pelabelan tambahan dalam Direktif EU. Sesetengah model tidak mempunyai pelabelan tambahan ini.
Di Hong Kong, tiada peraturan tentang kandungan logam berat atau sistem kitar semula bagi bateri kegunaan tunggal. Jika bateri digunakan dengan betul, logam berat dalamnya secara umum tidak akan mempengaruhi kesihatan pengguna.
Namun begitu logam berat tersebut boleh mencemarkan alam sekitar. Oleh yang demikian, Majlis Pengguna Hong Kong mendesak pengeluar bateri supaya tidak menggunakan logam berat, termasuk merkuri dan kadmium dalam bateria bagi mengelakkan pencemaran.
Kebocoran elektrolit akan merosakkan peranti elektrik jika bateri yang bocor itu dibiarkan dalam peralatan tersebut dalam jangka masa yang panjang. Semua model bateri yang diuji didapati mematuhi standard resistansi kebocoran elektrolit International Electronical Committee (IEC).
Namun, dalam ujian yang dilakukan oleh Majlis Pengguna, yang merupakan simulasi kecuaian penggunaan, kebocoran ditemui dalam 10 model yang diuji. Oleh itu, untuk mengelakkan kebocoran, pengguna diingati supaya tidak membiarkan bateri dalam peranti, jika tidak menggunakan peranti itu, untuk masa yang panjang.
Untuk hayat bateri, model alkali bertahan lebih lama daripada model karbon-zink bagi kegunaan jangka panjang, sederhana dan pendek tanpa mengira saiznya. Jangka kegunaan bateri alkali adalah 1.5 – 2.5 kali lebih baik jika berbanding dengan bateri karbon-zink.
Walaupun bateri karbon-zink lebih murah, tetapi penggunaan bateri alkali dapat mengurangkan sisa. Untuk tujuan lestari, pengguna digalakkan supaya bertukar daripada bateri kegunaan tunggal kepada bateri yang boleh dicas semula. Ini bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi menyumbang kepada perlindungan alam sekitar.
Berikut adalah tip yang boleh diamalkan untuk penggunaan bateri:
- Menyemak tarikh luput pada bateri, kerana kuasa bateri akan luput berdasarkan masa. Oleh itu pilih bateri yang baru dikeluarkan daripada kilang.
- Memilih saiz dan pek bateri yang sesuai dengan keperluan anda walaupun pek besar biasanya lebih murah, tetapi anda mungkin tidak memerlukannya.
- Mengeluarkan semua bateri daripada peranti jika peranti tersebut tidak digunakan dalam tempoh yang panjang
- Memasang bateri dengan betul. Jangan pasang pada terminal negatif dan positif yang salah.
- Menukar semua set bateri pada masa yang sama
- Menyimpan bateri di tempat yang sejuk dan kering
Pengguna harus berhati-hati semasa menggunakan bateri. Bateri yang telah luput tidak dibuang ke dalam tong sampah secara terus. Buangkan ke dalam tong kitar semula yang khas untuk bateri atau hubungi pihak tertentu seperti Jabatan Alam Sekitar untuk maklumat yang selanjutnya.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia