Masyarakat Malaysia mulai sedar tentang kepentingan penjagaan kesihatan. Peningkatan kesedaran tersebut menyebabkan wujudnya pelbagai produk kesihatan di pasaran. Antara yang paling banyak diiklankan di dada akhbar adalah produk pelangsingan, pemutihan kulit wajah dan penyingkiran toksin (detox).
Setelah membaca tentang pendedahan sebuah blog tentang ketidakberkesanan sejenis produk penyingkiran toksin , saya terpanggil untuk melakukan eksperimen (menjadikan diri sebagai tikus makmal, kadang-kala mengujakan) mengenai f pelekat kaki detox. Kebanyakan pelekat kaki detox yang dijual di pasaran berharga murah dan mendakwa dapat menyingkirkan toksin, logam dalam badan dan mengurangkan berat badan.
Saya telah membeli sepaket pelekat kaki detox ini dengan harga RM15. Terdapat 10 pelekat kaki detox dalam paket tersebut yang boleh digunakan untuk lima malam.
Pada malam pertama, saya menggunakan pelekat kaki detox seperti yang disarankan. Pada keesokan paginya, saya dapat melihat pelekat kaki detox tersebut berwarna hitam. Ini menunjukkan bahawa toksin dalam badan saya telah dikeluarkan. Saya tidak merasai apa-apa perbezaan setelah memakainya.
Ini berbeza semasa saya mencuba satu produk pelekat kaki dari Jepun yang mendakwa produknya mengeluarkan ion-ion yang tidak diperlukan oleh badan. Produk tersebut, yang lebih mahal harganya bertindak seperti koyok yang dapat mengurangkan rasa sengal-sengal badan. Apabila bangun keesokannya, saya rasa sengal badan saya telah berkurangan.
Saya kemudian mencuba dengan eksperimen sebagaimana yang dinyatakan dalam blog tersebut, dengan meletakkan pelekat kaki detox baru di atas permukaan air suam. Hasilnya sama seperti kesan diletak pada kaki saya.Adakah ini menunjukkan air suam itu mempunyai toksin?
Nyata sekali pelekat kaki detox yang mendakwa boleh menyingkirkan toksin daripada badan ini adalah satu penipuan. Saya berharap para pengguna lebih berhati-hati dan tidak tertipu dengan produk-produk yang seperti ini pada masa hadapan. Beringatlah sebelum terkena.
Pastikan apabila anda ingin membeli produk pelekat kaki detox, semak nombor MAL yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan. Jika anda telah terbeli pelekat kaki detox seperti ini, buat aduan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di talian: 1-800-886-800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional, di talian: 03-7877 9000.
Azwa Abd Rahman
ERA Consumer Malaysia