Pengguna di Malaysia perlu berhati-hati terhadap wujudnya sindiket yang menjual telefon bimbit jenama Nokia E71 dan E72 palsu.
Menurut pengalaman yang dialami oleh penulis sendiri yang dihampiri oleh penjual telefon bimbit palsu ini, kegiatan ini didalangi oleh warga Indonesia berdasarkan dialek percakapan mereka.
Biarnya, penjual telefon bimbit palsu ini bergerak secara berkumpulan, tetapi mencari mangsa secara bersendirian.
Pengalaman penulis sendiri yang telah dihampiri sebanyak tiga kali dalam tempoh dua minggu di tempat yang berasingan, iaitu di pasar malam, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta pusat membeli-belah di sekitar Puchong dan Lebuhraya.
Pada mulanya, ahli sindiket ini akan mengenal pasti mangsa mereka terlebih dahulu akan mengekori mangsa dari belakang. Mereka akan menghampiri mangsa dan menunjukkan telefon bimbit palsu yang ingin dijual itu. Apa yang menghairankan penulis ialah kegiatan ini disertai oleh golongan muda dalam lingkungan usia 18 tahun hingga 23 tahun.
Mereka menghampiri penulis dan menunjukkan dua model telefon bimbit tersebut. Mereka akan menerangkan fungsi dan harga telefon bimbit ini yang didakwa sebagai masih baru.
Harga yang ditawarkan kepada penulis bagi E 71 ialah RM 300.00 dan E72 pula RM 450.00. Bukan itu sahaja, mereka juga mengatakan bahawa harga itu masih boleh dirunding.
Penulis berlagak seolah-olah berminat untuk memiliki telefon bimbit tersebut dan berunding harga. Apabila penulis meminta harga sebanyak RM 100.00, dia berkata tidak mendapat untung jika dijual RM 100.00. Sementara itu, penulis juga memeriksa telefon bimbit tersebut sama ada ia “original” atau tidak dan diluluskan oleh SIRIM (CE). Penulis mendapati kedua-dua model telefon bimbit itu tidak mempunyai kriteria tersebut.
Penulis berharap pengguna Malaysia berhati-hati dengan ejen penjualan model telefon bimbit palsu tersebut. Jangan sesekali terperdaya dengan sindiket ini.
“Jadi Pengguna yang Bemaklumat”
Mageswaran Senderal
FOMCA