Daripada ’walkman’ pada tahun 80-an sehingga MP3 pada zaman sekarang, kebanyakan orang menggunakan MP3 ketika menunggu bas dan LRT, semasa berjalan, semasa membaca, bekerja, berlari dan malah semasa tidur.
Hampir semua orang terutama golongan remaja akan memiliki satu MP3 atau MP4, iPod, atau pemain CD. Tambahan pula, kebanyakan telefon bimbit sekarang dilengkapkan dengan fungsi MP3. Ini memudahkan kaum remaja untuk mendengar kepada MP3 pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Mereka akan menghabiskan masa selama beberapa jam dalam sehari untuk mendengar kepada lagu kegemaran mereka. Adakalanya lagu tersebut dimainkan dengan bunyi yang kuat.
Justeru, pemain muzik yang mudah alih boleh menjadi satu ancaman yang besar terhadap kesihatan pendengaran kita terutama di kalangan remaja jika mereka sering berbuat sedemikian..
Antara faktor-faktor yang menjejaskan kesihatan pendengaran ialah:
1. Kadar bunyi
2. Masa yang digunakan untuk mendengar,
3. Jenis fonkepala
Desibel yang tinggi akan mengakibatkan kehilangan pendengaran, tetapi ini juga bergantung kepada tempoh pendedahan. Jika pengguna mendengar MP3 pada kadar bunyi yang sederhana, jangka masa pendedahan kurang menjadi faktor yang mengakibatkan kecederaan kekal. Contohnya, jika kadar bunyi ditetapkan pada 50% daripada kadar maksimum, anda boleh mendengar untuk seberapa lama yang anda mahu tanpa menjejaskan pendengaran anda.
Walau bagaimanapun, pendengaran boleh terjejas jika desibel yang digunakan adalah lebih tinggi dan dalam tempoh yang lama, seperti berikut:
- - Mendengar selama 8 jam pada desibel 85 akan menyebabkan kehilangan pendengaran yang ketara.
- - Mendengar selama 4 jam pada desibel 88 akan memberi kesan yang sama.
- - Kecederaan pendengaran akan berlaku pada desibel 100-105 dalam masa 8 hingga 15 minits.
Pada masa pemain kaset dan pemain CD mudah alih digunakan, kebanyakan pengguna mendengar satu kaset atau satu CD sahaja. Tetapi, MP3 sekarang mempunyai bateri yang boleh tahan selama 12 jam dan mampu menyimpan beratus-ratus buah lagu. Oleh itu, setiap kali pengguna mendengar MP3, dia akan tertarik untuk mendengarnya sehingga beberapa jam.
Di samping itu, teknologi yang canggih pada hari ini membolehkan pengguna untuk meningkatkan kadar bunyi tanpa gangguan. MP3 sekarang mempunyai fontelinga yang kecil. Dengan itu, bunyi muzik dapat disalurkan dengan lebih dekat kepada drum telinga sehingga boleh menjejaskan pendengaran dengan lebih cepat. Fontelinga jenis ini dapat meningkat kadar bunyi sebanyak 9 desibel.
Lindungi pendengaran anda
Jika anda kerap menggunakan MP3, panduan di bawah boleh melindungi anda daripada kehilangan pendengaran:
- Kurangkan kadar bunyi dan masa pendengaran. Jika anda menurunkan kadar bunyi, anda boleh mendengar dengan masa yang lebih panjang.
- Jika anda bekerja, tinggal atau bermain di keadaan yang bising, anda hendaklah merendahkan kadar bunyi MP3. Ini disebabkan pendedahan kepada kadar bunyi yang kuat akan melonggok.
- Menjalankan pemeriksaan telinga dengan pakar telinga secara berkala. Berjumpa dengan pakar telinga jika anda mendapati sebarang perubahan kepada pendengaran anda.
- Rehatkan telinga anda.
- Kebanyakan kecederaan disebabkan oleh pendedahan yang berulang kali. Oleh itu, amalkan satu hari yang anda tidak langsung menggunakan MP4 menggunakan fontelinga.
- Fonkepala yang dipakai di luar telinga adalah lebih baik daripada fontelinga yang dipakai ke dalam telinga. Tapi, cara yang paling baik ialah mengguna fontelinga yang lebih canggih yang mengasingkan bunyi bising di luar. Fon jenis ini membolehkan anda mendengar muzik dengan jelas pada kadar yang rendah.
Yu Kin Len
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)