Kini terdapat pekerja kedai elektrik yang mengajak pengguna yang berkunjung ke premis mereka untuk terlibat dalam peraduan gores dan menang. Mereka juga sering menarik pengguna yang lalu di hadapan premis mereka untuk tujuan yang sama.

Pekerja tersebut berjanji kepada pengguna bahawa mereka boleh membawa pulang barangan elektrik tanpa perlu membayar jika mereka berjaya menggores kad yang tertera barangan elektrik. Pengguna pun bersetuju untuk membuat sedemikian sebab mereka tidak mengalami apa-apa kerugian, iaitu sekadar mencuba nasib sahaja. Antara barangan elektrik yang ditawarkan adalah ketuhar elektrik, pengisar makanan, alat senaman perut dan set dapur elektrik.

Apabila pengguna berjaya menggores kad yang terdapat gambar barangan elektrik, semua pekerja di kedai tersebut menjadi kecoh kerana perkara seperti ini jarang berlaku. Mereka menyatakan kekaguman terhadap tuah pengguna tersebut sambil meluahkan rasa tidak percaya. Pengguna mulai terpengaruh dengan kata-kata atau reaksi mereka.

Sebenarnya semua pekedai di kedai tersebut menggunakan taktik yang sama kepada semua pengguna yang terlibat dengan peraduan gores dan menang. Lebih-lebih lagi mereka menunjukkan gambar-gambar orang yang bertuah mendapat hadiah yang menarik serta menunjukkan pengguna tersebut barangan yang baru dimenanginya itu.

Apabila pengguna hendak membawa pulang barangan elektrik berkenaan, tiba-tiba salah seorang pekerja mengatakan syarat untuk membawa pulang barangan elektrik itu adalah pengguna perlu membeli barang promosi yang yang terdapat dalam katalog mereka. Harga-harga yang tertera dalam katalog tersebut adalah lebih tinggi dari harga biasa. Untuk memastikan pengguna membeli barang tersebut, pekerja memberikan baucar bernilai RM 100 atau memperdayakan mereka dengan mengatakan harga yang tertera dalam katalog itu adalah harga promosi yang hanya diberikan dalam tempoh satu hari sahaja.

Pekerja terus mendesak pengguna membeli barang promosi dengan menggunakan kad kredit jika tidak ada wang tunai. Pengguna yang bijak dapat mengelakkan diri daripada taktik pekedai, sebaliknya pengguna yang terpengaruh akan membeli barang tersebut dengan wang tunai atau kad kredit kerana hanya hendak mendapatkan hadiah bertuah yang dimenangi.

Selepas membawa pulang hadiah-hadiah tersebut, ramai pengguna menyedari bahawa mereka tertipu dengan taktik kedai elektrik tersebut. Jumlah wang terlibat dalam penipuan seperti ini antara RM5000 hingga RM6000.

Oleh itu, jangan sekali-kali terlibat dengan peraduan seperti ini. Pengguna perlu melindungi diri sendiri.


Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)