Pengguna mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan terhadap barang yang ingin dibeli dan perkhidmatan yang ingin digunakan. Selain itu pengguna juga perlu diberikan maklumat yang secukupnya terhadap barang dan perkhidmatan.
Namun begitu, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sering menerima aduan daripada pengguna bahawa mereka dipaksa untuk memilih barang atau perkhidmatan. Dalam hal ini, seorang pengguna kita bukan sahaja mempunyai hak, tetapi yang pentingnya tanggungjawab sebagai pengguna, iaitu tanggungjawab untuk memastikan hak pengguna itu dipatuhi dalam urusan seharian.
Oleh itu, apabila seseorang itu itu mengadu bahawa mereka telah dipaksa untuk menggunakan barang atau perkhidmatan, maka mereka perlu menilai semula sejauh mana mereka itu boleh dipaksa, sedangkan mereka sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan berdasarkan kredibiliti kewangan dan kemampuan mereka.
Kebanyakan aduan yang diterima oleh NCCC jelas menunjukkan pengguna di Malaysia masih belum mempunyai pendirian yang kuat untuk mengatakan “Tidak!” untuk sesuatu barang atau perkhidmatan yang kita tidak mampu dan perlu.
Dalam pada itu, sesuatu pemasaran harus dilakukan dengan cara yang beretika, harus jujur dalam memberikan maklumat dan fakta mengenai produk dan perkhidmatan. Walaupun realitinya kebanyakannya hanya sekadar mengaut untuk untung sahaja.
Oleh itu, pengguna perlu sedar dan melakukan perubahan sikap. Merdekakan diri daripada pembaziran, kejahilan dan penipuan. Laksanakan sebagai moto FOMCA sendiri, iaitu “Perlindungan terbaik adalah perlindungan diri sendiri”. Jadilah pengguna yang bijak dan bertanggungjawab.
Untuk membantu pengguna dalam menghadapi amalan pemasaran perniagaan yang ada kala bersikap agresif dan tidak beretika, berikut adalah beberapa peruntukan dalam Akta Kontrak 1950 yang membolehkan sesuatu kontrak boleh dibatalkan dan dianggap sebagai tidak sah.
1. Paksaan (Force)
Menurut Seksyen 15, Akta Kontrak 1950, sesuatu kontrak yang dilakukan dengan paksaan boleh dibatalkan dan dianggap tidak sah. Namun pengguna tidak boleh membiarkan orang lain memaksa mereka untuk menandatangani sesuatu kontrak tanpa mengetahui terlebih dahulu kandungannya.
2. Pengaruh Tidak Berpatutan (Undue Influence)
Mengikut Seksyen 16, Akta Kontrak 1950, `Pengaruh tidak berpatutan’ berlaku apabila seseorang memasuki perjanjian setelah dipengaruhi secara tidak wajar oleh pihak lain. Ini berlaku apabila pihak tersebut boleh menguasai kemahuan orang lain atau mempunyai autoriti yang membolehkan dia mengambil keuntungan daripada orang lain.
3. Penipuan (Fraud)
Mengikut Seksyen 17, Akta Kontrak 1950, penipuan berlaku apabila seseorang berbuat sesuatu dengan niat memperdaya dan mendorong pihak lain untuk memasuki kontrak. Empat keadaan yang membolehkan penipuan berlaku:
i. Memberikan fakta palsu
ii. Menyembunyikan fakta
iii. Membuat janji dengan niat tidak mahu menepatinya
iv. Memperdaya
4. Salah Nyata (Misrepresentation)
Seksyen 18, Akta Kontrak 1950, menyatakan salah nyata berlaku apabila orang yang membuat suatu kenyataan tidak berniat untuk menipu berkenaan suatu fakta. Jika kenyataan yang dibuat dalam bentuk pendapat, maka ia dianggap tidak melakukan salah nyata.
5. Khilaf (Mistake)
Seksyen 21, 22, 23, Akta Kontrak 1950, khilaf atau kesilapan boleh dilakukan oleh kedua-dua pihak yang berkontrak atau salah seorang daripadanya.
- Seksyen 21 - Khilaf mengenai fakta (Mistake as to the fact) – kontrak boleh dibatalkan
- Seksyen 22 - Khilaf mengenai undang-undang (Mistake as to law) - kontrak tidak boleh dibatalkan
- Seksyen 23 - Hanya satu pihak khilaf mengenai fakta - Kontrak tidak boleh dibatalkan.
Walaupun Akta Kontrak 1950 merangkumi beberapa seksyen yang memberi perlindungan kepada pengguna, namun sesuatu kontrak akan dan masih dianggap sah dan mengikat kedua-dua pihak sekiranya pengguna yang mengabaikan tanggungjawabnya sendiri untuk mempertimbangkan semua kesan masa depan. Hanya apabila elemen di atas dapat dibuktikan, maka sesuatu kontrak akan dibatalkan.
"Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna"
Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)