PETALING JAYA - Meskipun pihak berkuasa tempatan kerap melakukan operasi melupuskan kenderaan usang, namun kes lambakan kenderaan terbiar sekitar flat di Lembah Klang seakan tidak bernoktah sehingga mencetus kerisauan dalam kalangan masyarakat setempat.
Difahamkan, terdapat lebih 20 kenderaan dipercayai mengalami kerosakan tersadai di parkir flat Desa Mentari 3 di sini, sehingga menyebabkan kekurangan tempat letak kereta selain menyebabkan laluan keluar masuk menjadi sempit.
Rata-rata penduduk yang ditemui mengakui keadaan itu sudah berlarutan hampir empat dekad dan sukar diselesaikan.
Salah seorang penduduk, Nor Hamizah Azmi, 34, mengakui mereka terpaksa 'membutakan mata dan memekakkan telinga' dengan situasi tersebut yang dihadapi di kawasan itu.
“Walaupun pihak berkuasa kerap menampal notis dan melakukan operasi menunda, ada penduduk dilihat masih berdegil selain tidak mengendahkan amaran diterima,” katanya.
Tambahnya, selain kereta, terdapat juga motosikal terbiar di parkir khas dan tidak dialihkan untuk tempoh lama.
“Kenderaan buruk ini mula memenuhi petak parkir sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 sehingga melimpah ke luar kawasan kediaman dan langsung tidak bergerak selama beberapa tahun.
“Tetapi sekarang, bilangannya kurang sedikit kerana pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerap melakukan pembersihan.
“Kadang kala ada program yang perlu menggunakan kawasan parkir ini, jadi kenderaan terbiar itu akan ditunda MBPJ ke lokasi lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurut Nor Hamizah yang membesar di perumahan itu, terdapat juga penghuni perumahan berhampiran meninggalkan kenderaan yang rosak di lot parkir flat berkenaan.
“Sebenarnya lot parkir ini khusus untuk penduduk flat sahaja tetapi penghuni rumah teres berhampiran pun sering meletak kenderaan di sini.
“Sebab itu pihak pengurusan sudah membina pagar di sekeliling parkir flat ini, baru kurang sedikit kenderaan dari kawasan kediaman lain,” ujarnya.
Seorang peniaga, Silahhuddin Jalani, 51, penyelesaian terbaik adalah dengan melupuskan kenderaan terbengkalai ini, namun pada masa sama tiada jaminan keadaan ini tidak akan berterusan sekiranya mentaliti masyarakat tidak mahu berubah.
“Pihak pengurusan memang tahu kewujudan kereta atau motosikal yang tersadai ini, nombor pendaftaran kenderaan terbiar pun ada dan sudah dilaporkan kepada MBPJ.
“Cuma MBPJ tidak datang ambil (kenderaan tersadai) sepenuhnya. Ada yang mereka ambil, tetapi sebahagian sahaja,” ulasnya.
Seorang lagi peniaga, Mohd Nidzam Abu Bakar, 53, menyarankan agar kuasa diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melupuskan kenderaan terbiar supaya masalah kenkereta yang sekian lama tersadai di lot parkir dapat diselesaikan.
“Ini kerana isu kereta tersadai memenuhi petak parkir ibarat tiada penghujungnya sehingga menimbulkan kemarahan dan kesusahan penduduk akibat kekurangan tempat meletak kenderaan,” ujarnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini dilaporkan, berkata pindaan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018 di Dewan Rakyat akan memberi kuasa kepada PBT untuk melupuskan kenderaan terbiar.
Juruteknik, Muhammad Farid Hussain, 35, turut senada dan mahu pihak berkuasa bertegas dalam hal berkenaan dan memastikan tindakan menarik kereta dilakukan serta-merta tanpa kompromi.