KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melaksanakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sejak 2000 bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang mengaut cuba keuntungan berlebihan.

 

Menerusi SKHMP, pengguna mudah mendapatkan barang keperluan dengan harga siling yang ditetapkan pada musim perayaan, bagaimanapun ia berbeza tahun ini apabila kebanyakan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang basah berikutan berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

 

Berikutan itu, pada sidang media 30 Mei lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pelaksanaan SKHMP bagi mengekang peniaga menaikkan harga barang terutamanya barang basah melebihi harga yang ditetapkan KPDNKK menjelang sambutan Aidilfitri ini.

 

 

 

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata peniaga yang tidak bertanggungjawab sering mengambil kesempatan menaikkan harga setiap kali pengumuman kenaikan harga barang asas, seperti harga petrol, kadar tol dan tarif elektrik dibuat.

 

“Kenaikan harga barang asas itu sebenarnya hanya memberi kesan minima kepada kenaikan kos harian peniaga dan mereka kerap memberi alasan menaikkan harga kerana kos pengangkutan.

 

“Walaupun KPDNKK mewujudkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, namun ia dilihat tidak berjaya sepenuhnya dalam mengekang peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga apabila tiada pemantauan dibuat pihak berkuasa,” katanya.

 

Mohd Yusof berkata Fomca berharap kerajaan akan memastikan akta tersebut terus dilaksanakan agar rakyat tidak dibebani dengan peningkatan harga daripada peniaga pada masa depan.

 

Selain itu, beliau menasihatkan pengguna untuk membuat aduan kepada KPDNKK atau pihak berwajib sekiranya mendapati peniaga menaikkan harga barang keperluan melebihi harga yang ditetapkan bagi membantu KPDNKK mengesan golongan yang tidak bertanggungjawab itu.

 

“Pengguna boleh juga menghentikan pembelian barang yang dinaikkan harga, ia dapat memberi tekanan kepada peniaga untuk menurunkan harga pada kadar yang berpatutan,” katanya.

 

Mohd Yusof berkata walaupun tahun ini KPDNKK tidak melancarkan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan, namun anggota penguat kuasa KPDNKK perlu meneruskan pemantauan harga seperti biasa.

 

Dalam perkembangan lain, beliau bersetuju dengan saranan bekas Presiden Fomca Datuk Prof Mohd Hamdan Adnan agar kerajaan mempertimbangkan tubuh jawatankuasa khas atau suruhanjaya bagi memperhalus keperluan dan hak-hak pengguna di negara ini.

 

Jawatankuasa tersebut berperanan mengambil tindakan terhadap penjualan produk dan makanan tidak selamat kepada pengguna kerana ketika ini didapati banyak alat mainan kanak-kanak, alat ganti kenderaan, kosmetik, ubat-ubatan yang tidak selamat dijual secara berleluasa tanpa kawalan, katanya.- Bernama

 

 

 

 

 

Sumber :: http://www.sinarharian.com.my/nasional/pengguna-kena-bantu-pantau-peniaga-cekik-darah-1.844845

Sinar Hairan 11 Jun 2018