Ogos 3, 2021 14:56 MYT
KUALA BERANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang mempertimbangkan cadangan untuk mengawal harga kit ujian COVID-19.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, berdasarkan maklum balas orang ramai ketika ini, harga kit ujian tersebut agak membebankan terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan keluarga memiliki ramai anak.
"Kita dapat maklumat harganya RM39.90 seunit, tidak ramai yang mampu membelinya pada harga tersebut. Jadi, kita sedang buat advokasi dengan pengilang, pengimport dan penjual untuk dapatkannya pada harga yang munasabah agar tidak merugikan peniaga dan tidak bebankan rakyat.
"Kita harap harganya nanti akan mampu dibeli oleh semua orang selain itu peranan kita juga adalah untuk pastikan kit ujian ini tidak ada yang tiruan. Kita bimbang ada yang cuba hasilkan barang tiruan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Bukit Bading di sini hari ini.
Seramai 360 penduduk FELDA tersebut menerima vaksin COVID-19 mereka melalui program itu, yang pertama diadakan di daerah Hulu Terengganu setakat ini.
Rosol berkata, enam lagi program MOVAK menggunakan bas akan diadakan secara berperingkat di daerah Hulu Terengganu selepas ini iaitu di SK Bukit Tadok, SK Tapah, SK Tok Randok, SK Getang, SK Kua dan SK Binjai Kertas dengan lebih 3,500 penduduk dijangka akan menerima vaksin tersebut.
Dalam perkembangan lain, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terhadap 689,876 premis di seluruh negara sejak 13 Mei 2020 hingga semalam.
"Sebanyak 653 kesalahan dikesan menerusi pemeriksaan itu iaitu 254 kes kerana gagal mendaftar masuk menggunakan buku atau aplikasi MySejahtera, menjalankan aktiviti tidak dibenarkan (127), gagal menyediakan penanda jarak satu meter (56), gagal memakai pelitup muka (40), gagal mempamer had bilangan maksimum pelanggan (18), gagal mematuhi waktu operasi (empat) dan lain-lain kesalahan (154).
"Nilai kompaun yang telah dikeluarkan pula adalah sebanyak RM4.45 juta setakat ini namun kompaun adalah tindakan terakhir yang terpaksa diambil kementerian selepas memberi nasihat dan amaran kepada pemilik premis," katanya. - BERNAMA