July 27, 2021 10:05 PM
PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol berkuat kuasa 1 Ogos ini, dengan jaminan pengguna akan mendapat minyak masak di bawah harga RM30 untuk botol 5kg.
Dalam pengumumannya hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit dalam kemasan botol 5kg pada harga RM29.70 sebotol, botol 1kg (RM6.70), 2kg (RM12.70) dan 3kg (RM18.70).
KPDNHEP dalam kenyataannya berkata kerajaan telah bersetuju melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah (CPO) dengan harga minyak masak sawit botol 5kg diputuskan untuk dikawal supaya harganya tidak melebihi RM30 sebotol.
Kementerian itu berkata pelaksanaan harga kawalan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai komitmen kerajaan membantu rakyat meringankan kos sara hidup.
Kata kenyataan itu lagi, ia juga bagi menangani isu kenaikan harga CPO di pasaran dunia yang mempengaruhi harga minyak masak sawit tulen tidak bersubsidi di pasaran tempatan.
“Dengan pelaksanaan harga kawalan untuk minyak masak tulen, pengguna adalah dijamin untuk mendapatkan minyak masak tersebut dibawah harga RM30 bagi 5kg dan pada lain-lain kuantiti juga tanpa mengira kepada kedudukan harga sawit semasa,” kata KPDNHEP.
KPDNHEP berkata penetapan harga runcit maksimum minyak masak itu dibuat di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2021 dengan turut mengambil kira pandangan agensi-agensi, industri dan trend harga di pasaran.