KUALA LUMPUR 20 Julai – Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal berkuat kuasa 1 September ini dilihat mempunyai mekanisme pelaksanaan yang sedikit berbeza dengan SST versi sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

 

Walaupun kerajaan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah menyenaraikan sebanyak 98 kategori meliputi lebih 11,000 barangan yang bakal dikecualikan daripada cukai berkenaan, masih tiada jaminan kenaikan harga tidak akan menghimpit pengguna.

 

 

 

Mengulas perkara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, SST yang diamalkan dahulu hanya mengenakan cukai kepada barang-barang sudah disenaraikan oleh kerajaan.

 

Menurutnya, berbanding SST edisi baharu ini, kerajaan hanya menyenaraikan bara­ngan dan perkhidmatan berstatus bebas daripada cukai terbabit dan perkara itu jelas menimbulkan keraguan sama ada lebih banyak produk bakal dikenakan cukai nanti.

 

“Maksudnya selain daripada barangan yang terdapat dalam senarai itu, semua akan dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus dan cukai perkhidmatan pula enam peratus.

 

“SST yang dahulu. apabila ha­nya barangan yang disenaraikan sahaja dikenakan cukai, pengguna tidak terlalu terasa akan kesannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

 

Berdasarkan senarai di portal JKDM: www.customs.gov.my, antara barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai berkenaan adalah barangan keperluan asas se­perti daging lembu, kambing, ikan, ayam dan sebagainya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sumber :: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/lebih-banyak-barangan-bakal-dikenakan-cukai-1.713296#ixzz5M2vcdf3b

21 Julai 2018, Utusan Online