Pembuat kereta kebangsaan Proton mengumumkan penarikan balik model GEN.2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara tahun 2008 dan 2008. Penarikan balik ini berpunca daripada kegagalan pada clock spring yang mungkin boleh mengakibatkan kemalangan.

Clock spring ini menyambungkan suis, airbag kepada radio, hon dan cruise control. Penarikan balik ini merupakan sebahagian daripada program Global Quality Assurance (GQA).

Penarikan balik ini melibatkan 15,911 buah kereta daripada jumlah 660,000 buah kereta yang telah dihasilkan selama tempoh empat tahun tersebut.

Ujian rutin yang dilakukan oleh Proton telah mengenal pasti masalah yang berlaku pada clock spring, termasuk suara geseran dalam roda, pengaktifan hon atau lampu tanpa amaran, kerosakan kawalan suis radio, dan dalam beberapa kes yang agak melampau, pembukaan beg udara di bahagian tepi pemandu.

Pemilik model yang terlibat dengan penarikan balik itu boleh menghubungi setiap pusat servis yang disahkan oleh Proton untuk melakukan pemeriksaan percuma. Semua kos tenaga kerja dan bahagian-bahagian yang berkaitan dengan penggantian clock spring akan ditanggung oleh Proton.

Pemilik model dinasihatkan supaya berhati-hati dengan kereta mereka. Sekiranya terdapat sebarang masalah, hubungi pusat servis Proton dengan segera atau laporkan segera kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia